Monday, February 27, 2012

Penyeludup langsung tak takut


KIRI: Cheng San (tiga dari kiri) menunjukkan petrol yang dirampas di Pengkalan Kubor, Tumpat kelmarin.


PENGKALAN KUBOR - Program penempatan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di stesen minyak di kawasan sempadan terutama di Jajahan Tumpat langsung tidak memberi kesan kepada aktiviti penyeludupan minyak petrol dan diesel.

Mereka bukan sahaja didakwa tidak mengambil tindakan ke atas pemandu yang dilihat mengisi minyak berulang kali, malah sanggup membantu golongan penyeludup mengisi bahan-bahan bakar tersebut.

Dakwaan itu dibuat selepas polis merampas 2,190 liter petrol yang cuba diseludup keluar sepanjang Ops Pensura yang dijalankan selama seminggu bermula 19 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi itu.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San berkata, rampasan terbesar dilakukan Sabtu lalu apabila pihaknya menahan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback yang membawa 58 tong yang setiap satunya berisi 30 liter petrol.

Katanya, serbuan dilakukan di pangkalan haram Pak Su Harun, dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi.

"Dua lelaki tempatan sempat melarikan diri menggunakan bot ke negara jiran dan hasil pemeriksaan menemui kesemua tong minyak yang cuba diseludup," ujarnya.

Tambahnya, minyak petrol yang dirampas tersebut dianggarkan bernilai RM3,306 manakala dua buah kenderaan tersebut bernilai RM10,000.

Menurut Cheng San, selain minyak, operasi itu turut merampas enam ekor lembu yang cuba diseludup masuk bernilai RM24,000, 200 kilogram beras bernilai RM600 serta tujuh awak-awak asing kerana menceroboh masuk perairan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: