JIKA kebiasaannya teater akan dipentaskan bersandarkan kepada populariti sesebuah filem, lain kaedahanya dengan karya Gerimis Mengundang. Pada ketika filem yang sudah selesai pembikinannya hanya akan muncul di pawagam pada Mei depan, produksi yang sama sudah bersedia untuk mementaskan Gerimis Mengundang dalam versi teater terlebih dahulu pada 27 Mac hingga 8 April ini di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.
Pengarah Gerimis Mengundang, Ahmad Idham Ahmad Nazri berkata, teater tersebut merupakan prekuel kepada filem arahannya yang menampilkan Kamal Adli selaku pelakon utama.
Menurut Idham, meskipun hero utama teater dan filem adalah orang yang sama, namun jalan cerita antara kedua-duanya berbeza.
"Teater dipentaskan dalam bentuk muzikal dan ia merupakan prekuel kepada filem Gerimis Mengundang. Malah watak Zamani, lakonan Kamal Adli untuk teater juga digambarkan sebagai seorang remaja yang ceria.
"Dalam filem, Zamani yang merupakan seorang juruterbang itu menampilkan perwatakan serius bersesuaian dengan kematangan usianya," jelas Idham tentang perbezaan teater dan filem.
Idham berkata demikian pada sesi temubual dengan pihak media selepas sidang akhbar teater Gerimis Mengundang di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Penerbit Bersekutu Erama Creative, Datuk Md. Afendi Hamdan dan Penerbit Global Networks, Den Wahab.
Jelas Idham, jika dalam filem Kamal bergandingan dengan Olivia Jensen dari Indonesia, untuk teater aktor itu tetap dipadankan dengan artis seberang, Mikha Tambayong.
Katanya, pemilihan Mikha yang juga anak saudara kepada penyanyi Harvey Malaiholoh itu adalah sebahagian daripada strategi pemasaran.
"Mikha dipilih kerana namanya dikenali di Malaysia gara-gara lakonannya menerusi sinetron Nada Cinta yang sedang ditayang di saluran Astro.
"Lagipun ini cerita remaja yang berkisar tentang percintaan tiga segi dan saya lihat Mikha sesuai digandingkan dengan Kamal. Saya cuba hidangkan apa yang dikehendaki oleh penonton," katanya.
Selain populariti Mikha di kalangan penonton remaja tempatan, Idham juga mempunyai impian besar terhadap penampilan pelakon Indonesia itu.
Jelasnya, kehadiran Mikha yang juga seorang penyanyi itu bukan sahaja sebagai tarikan, malah ia juga boleh dijadikan tiket untuk membawa teater tersebut ke sana.
"Siapa tahu dengan izin Allah, saya dapat pentaskan Gerimis Mengundang di
Indonesia. Kalau di Singapura, memang sudah dalam perancangan kerana selepas di IB, teater ini bakal temui penonton di Temasik pula.
"Memanglah kos teater ini tidak mencecah berjuta tapi saya mahu sambutan yang diberi bernilai jutaan ringgit. Sebab itu jugalah saya cuba buat kelainan pada Gerimis Mengundang mengikut kehendak semasa," katanya.
Kelainan yang dimaksudkan oleh Idham adalah membawa masuk sebuah helikopter ke dalam Istana Budaya sebagai lambang pekerjaan kepada Zamani, seorang juruterbang.
"Jika pada tahun 2008 menerusi teater Impak Maksima The Musical IMTM, saya bawa kereta naik pentas, kali ini helikopter pula. Saya buat begitu untuk mendapat kelainan agar penonton tidak bosan.
"Selain jalan cerita yang boleh membuat penonton menitis air mata, saya juga akan buat penonton teruja melihat helikopter di atas pentas," katanya yang pernah pentaskan IMTM di Esplanade Theatre, Singapura pada Oktober 2009.
Tarikan utamanya, selain daripada pelakon dan jalan cerita yang menarik juga terletak pada barisan lagu yang bakal didendangkan sewaktu pementasan.
"Lagu Gerimis Mengundang sahaja sudah dirakam semula oleh ramai penyanyi. Untuk teater ini, saya mndapatkan khidmat Yovie Widianto, komposer dari Indonesia untuk membuat susunan muzik baru sesuai dengan jalan cerita. Lebih kurang 20 buah lagu akan diperdengarkan, termasuk lagu baru dan lama yang diserahkan kepada Cat Farish," katanya.
Kata Idham, teater yang menelan kos sebanyak RM800,000 itu adalah terbitan bersama Erama Creative, Excellent Pictures dan Global Networks.
Sementara itu, tiket-tiket yang berharga serendah RM35 hingga RM305 boleh didapati dengan membuat tempahan di www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Box Office Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: