Sunday, February 26, 2012

Himpunan peminat tegar

BERKUMPUL...antara peminat serta pengumpul koleksi Star Wars.
BERKUMPUL...antara peminat serta pengumpul koleksi Star Wars.

MUNGKIN sesetengah pengunjung terkejut sewaktu terserempak dengan watak daripada filem fiksyen sains popular, Star Wars yang berlegar-legar di Cineleisure Damansara, baru-baru ini.

Mereka bukan makhluk asing atau pelakon filem terbaru Star Wars yang melakukan promosi tayangan, sebaliknya peminat fanatik filem genre fiksyen sains atau ringkasnya sci-fi.

  • Foto

    UNIK...peminat Star Wars bersama kostum karakter Star Wars yang dimiliki.

  • Foto

    CUBA...seorang peminat Star Wars menunjukkan aksi lawan pedang dengan Darth Vader menggunakan lightsaber.

  • Foto

    BERNILAI...koleksi Star Wars kebiasaannya antara hobi yang menelan belanja besar.

Mahu dikenali sebagai Kelab Peminat Star Wars Malaysia iaitu sebuah komuniti peminat filem berkenaan, mereka sempat mengadakan majlis tayangan amal dengan menonton filem Star Wars Episode 1: The Phantom Menace 3D bersama-sama.

Bagaikan berada di set sebenar filem Star Wars apabila semua ahli berpakaian tak ubah seperti karakter filem itu, selain lokasi majlis turut dihias bagai di angkasa lepas.


Pengerusi Kelab Peminat Star Wars Malaysia, Adi Azhar Abd Majid berkata, ini adalah aktiviti sulung kelab itu selepas ditubuhkan secara rasmi pada 15 Disember tahun lalu.


“Saya berbangga kerana dapat merealisasikan majlis ini yang dirancang sejak sebulan lalu.

“Bukan mudah sebenarnya untuk mengumpulkan hampir 200 ahli berdaftar kerana selama ini kami hanya berkomunikasi melalui laman sosial untuk bertukar-tukar pandangan,” katanya.

Ketika menceritakan sejarah penubuhan kelab itu, Adi berkata, idea menubuhkan kelab ini tercetus sewaktu dia dan rakannya menjayakan pameran Toyscape 2011 anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSLSR) Universiti Selangor (Unisel) di Kampus Unisel Shah Alam, tahun lalu.

Katanya, ketika itu Kelab Peminat Star Wars Malaysia hanya sebuah komuniti yang dibentuk di laman sosial dan ia semakin mendapat tempat di hati peminat filem itu di Malaysia.

“Rata-rata mereka menghargai insentif dan usaha kami untuk menubuhkan kelab ini kerana niat kami hanya mahu mengumpulkan semua peminat Star Wars di samping berkongsi kegemaran dan hobi sama,” katanya.

Lebih membanggakan, majlis berkenaan turut meraikan lebih 20 anak yatim dan ibu tunggal daripada Rumah Solehah, Bandar Tun Razak untuk sama-sama berkongsi kegembiraan.

Beliau berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menjayakan aktiviti sulung kelab itu bersama golongan kurang bernasib baik.

“Anak yatim dan ibu tunggal yang kurang bernasib baik sentiasa mendapat tempat istimewa di hati kami.

“Justeru, kami cuba membabitkan mereka dalam aktiviti sosial kami dan berharap tayangan amal ini dapat memberikan kegembiraan serta keseronokan kepada mereka,” katanya.

Usaha Kelab Peminat Star Wars Malaysia membantu golongan kurang bernasib baik tidak terhenti setakat itu kerana mereka turut mengumpul wang dan menyumbang sebahagian daripada hasil pembelian tiket kepada rumah kebajikan berkenaan.

Kelab itu turut memberikan kejutan kepada kanak-kanak dengan persembahan perlawanan pedang ‘lightsaber’ oleh ahli Kumpulan FightSaber dan kemunculan beberapa karakter Star Wars dari Kelab 501st Legion Malaysia Brunei Outpost.

Sementara itu, peminat cilik, Syafiq Aizat Andi Suswandi, 9, berkata beliau mula meminati filem fiksyen sains itu ketika baru berusia setahun.

Lengkap berpakaian ala Darth Vader ketika hadir ke majlis berkenaan, Syafiq turut mengakui sangat meminati adegan perlawanan pedang di dalam setiap filem itu.

“Saya suka menonton filem Star Wars kerana adegan perlawanan pedangnya yang unik dan menarik.

“Selain itu, karakter dalam Star Wars juga berlainan dan Darth Vader adalah watak paling diminati,” katanya yang hadir ditemani bapanya yang juga meminati Star Wars.

Bapanya, Andi Suswandi Shamsudin, 39, berkata beliau mula meminati filem epik itu selepas menonton Star Wars Episode III: Revenge of the Sith.

Katanya, Syafiq yang baru berusia setahun waktu itu secara tidak langsung turut dipengaruhi filem berkenaan.

“Semakin Syafiq membesar, dia sering meminta barang permainan Star Wars. Jadi, saya belikan beberapa barangan Star Wars yang selamat seperti pedang ‘lightsaber’ diperbuat daripada plastik,” katanya.

Berbeza pula dengan Umi Nahdatul Idzwa Ahmad, 25. Minatnya terhadap Star Wars bermula selepas dipengaruhi rakan untuk menonton filem berkenaan.

Katanya, ketika itu beliau hanya berkesempatan menonton filem berkenaan di YouTube dan terus tertarik dengan jalan cerita dan setnya yang menarik.

“Berbeza dengan filem fiksyen sains lain, Star Wars seperti tidak lapuk dek zaman walaupun berkali-kali saya menontonnya.

“Saya juga tidak melepaskan peluang mengumpul barangan Star Wars dan setakat ini saya ada lebih 10 koleksi Star Wars dan semuanya dianggarkan bernilai hampir RM1,000, “ katanya yang turut meminati watak Darth Vader.


INFO:
Nama Kelab: Kelab Peminat Star Wars Malaysia
Tarikh penubuhan: 15 Disember 2011
Facebook: http://www.facebook.com/groupsmystarwars
Untuk penyertaan: Yazid Rahmat (019-3121354)



PROFIL

NAMA: Syafiq Aizat Andi Suswandi
UMUR: 9 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Pelajar SK Taman Tun Dr Ismail


PROFIL

NAMA: Umi Nahdatul Idzwa Ahmad
UMUR: 26 tahun
KERJAYA: Pereka di Logo Education
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang


PROFIL

NAMA: Andi Suswandi Shamsudin
UMUR: 39 tahun
KERJAYA: Pengurus di agensi kerajaan
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Berkahwin

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: