|
CERITA Gossip Girl, Cinderella dan Snow White merupakan kisah yang memaparkan jalan cerita, emosi dan karakter berbeza-beza. Namun terdapat satu persamaan jelas dilihat dalam tiga siri berkenaan iaitu pelakon utamanya menggayakan cekak rambut menawan.
Jika Cinderella anggun memakai cekak rona biru lembut yang dipadankan bersama gaun kembang sewaktu menghadiri majlis tari-menari di istana, puteri Snow White pula terkenal dengan signatur cekak kepala comel bertatah riben nuansa merah.
Sementara itu, kepada peminat tegar cerita Gossip Girl, pastinya terpikat dengan gaya feminin watak Blair Waldorf yang dilakonkan oleh Leighton Meester. Boleh dikatakan hampir kesemua penampilan Blair dalam siri popular itu tidak lekang daripada aksesori kepala pelbagai konsep dan warna.
Nampaknya trend fesyen menggayakan cekak ataupun tali di kepala kembali memeriahkan persada fesyen tempatan. Ia bagai mengembalikan corak fesyen yang pernah popular sekitar tahun 1960-an.
Pada masa yang sama, aksesori kepala turut menjadi pilihan selebriti tempatan seperti Anzalna, Elfira Loy, Intan Ladyana dan Ainul Aishah.
Vintaj dan hippie
Situasi ini diakui oleh pereka fesyen dan perunding imej Ili Diyana Azmi, 24, yang aktif dalam bisnes aksesori kepala sejak tahun lalu. Pereka yang mesra disapa Diana itu menyifatkan memakai aksesori kepala sedikit sebanyak membantu mencantikkan rambut.
Tambah Diana, pada mulanya dia menghasilkan aksesori kepala untuk kegunaan peribadi dan sekadar suka-suka mempamerkan foto aksesorinya itu di laman blognya.
|
|
Namun dia tidak menyangka, aksesori rambutnya mula mendapat perhatian kawan-kawan dan pengikut blognya. Secara purata setiap bulan dia menerima tempahan kira-kira 20 unit aksesori kepala.
“Rekaan aksesori kepala saya lebih tertumpu pada elemen fesyen bohemian, hippie, vintaj dan rock & roll. Sebab itu, jika diperhatikan, kebanyakan cekak dan tali kepala saya mempunyai juraian rambu, batu dan rantai.
“Saya turut memberi perincian kain renda, kelopak bunga ros, kristal dan butang-butang yang comel,” kata Diana yang turut menyatakan saiz kepala wanita dewasa berukuran 21 hingga 22 cm, kanak-kanak berumur di antara lima hingga 11 tahun pula 19 hingga 20 cm manakala 13 hingga 14.5 cm digunakan untuk saiz kepala bayi.
Menyentuh soal harga, Diana memberitahu himpunan aksesorinya dijual serendah RM11 sehingga RM150. Tempahan juga terbuka untuk majlis istimewa seperti perkahwinan, majlis formal atau minum petang.
Pretty Lulu berasaskan songket
Jika Diana Azmi, cenderung pada aksesori konsep vintaj dan hippie, pereka muda Nurulhuda Khairuddin, 31, pula memilih rekaan yang memiliki sentuhan moden klasik. Membesar dalam keluarga yang berdarah fesyen dan seni jahitan secara tidak langsung menyebabkan wanita yang membahasakan dirinya Nurul itu selektif dalam bab pemilihan material, perincian dan rekaan.
“Sejak kecil, saya sudah mengenali kain, jarum dan benang memandangkan ibu saya seorang tukang jahit manakala ibu saudara pula mengusahakan sebuah butik pakaian di Kuala Lumpur. Enggan membiarkan kecintaan pada fesyen dan seni kraf begitu saja saya mengambil keputusan menghasilkan aksesori kepala.
“Ini disebabkan saya ingin mengajak wanita tempatan supaya tampil menawan dengan hiasan di kepala, bukan sekadar menyarungkan sepatu dan pakaian yang menarik,” jelas Nurul yang menampilkan cekak dan klip rambut di bawah label Pretty Lulu.
Menyentuh mengenai nama jenama yang comel bunyinya, Nurul menyatakan Lulu diambil sempena nama timangannya dan digabungkan bersama nama Pretty. Ia bersesuaian dengan sifat wanita yang ingin sentiasa cantik dan menawan.
Selain itu, uniknya tentang aksesori kepala jenama Pretty Lulu, signaturnya terletak pada penggunaan fabrik songket sebagai material utama.
Tutur Nurul yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) pemilihan songket bertujuan untuk memartabatkan keindahan seni fabrik berkenaan dalam kalangan pengguna tempatan.
Lagipun fabrik warisan tersebut bukan saja ideal untuk menghasilkan busana persandingan, kain samping mahupun tas tangan malah ia tampak eksklusif digunakan dalam proses pembuatan aksesori kepala. Penggunaan fabrik songket juga sejajar dengan matlamat Pretty Lulu yang menyasarkan jualan kepada kelompok wanita yang mementingkan gaya eksklusif.
“Saya tidak menggunakan songket semata-mata sebaliknya menggabungkan bersama butiran manik, kristal Swarovski dan bulu-bulu. Tidak ketinggalan mengaplikasi teknik sulaman bagi menyerlahkan gaya moden klasik pada koleksi cekak Pretty Lulu.
“Aksesori saya juga sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat kerana ia dijual pada harga berpatutan iaitu bermula pada harga RM49.90. Selain majlis minum petang, aksesori kepala Pretty Lulu boleh digayakan ke parti, majlis makan malam atau majlis karpet merah,” jelas Nurul yang turut menawarkan beg genggam berasaskan songket.
Menutup bicara Nurul yang bakal melancarkan jualan Pretty Lulu secara dalam talian, dia turut mengambil tempahan khas buat para pelanggan yang mempunyai konsep dan rekaan pilihan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: