KOTA KINABALU 14 Feb. - Universiti Malaysia Sabah Link Holdings Sdn. Bhd. (UMS Link) dan Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) untuk memantapkan kecemerlangan pendidikan kedua-dua universiti berkenaan.
Menerusi perjanjian itu, UMS Link dan UTHM akan saling melengkapi sumber-sumber kekuatan sedia ada bagi membangunkan kepakaran dalam pelbagai bidang yang ditawarkan di universiti tersebut.
Pada majlis itu, UMS Link diwakili Pengarah Urusan Kumpulan UMS Link, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi manakala Pengarah Urusan UTHM Holdings, Dr. Baharuddin Mohamed mewakili UTHM.
Ia turut disaksikan oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Sufri Mohd. Zin dan Pengerusi Kumpulan, UMS Link Holdings Sdn. Bhd., Datuk K.Y Mustafa.
Ketika ditemui baru-baru ini, Roselina berkata, UMS Link memiliki kekuatan dalam bidang Sains Sosial dan Sains Tulen seperti biologi dan marin manakala UTHM mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Komputer dan Kejuruteraan.
''Kita mahu menggabungkan kekuatan untuk mengatasi kelemahan dalam bidang masing-masing. Kesimpulan tersebut diperoleh setelah melakukan tinjauan terhadap semua universiti di Malaysia," katanya.
Roselina berkata, gabungan kedua-dua universiti itu mampu memberikan keyakinan untuk meneroka potensi-potensi dalam bidang lain yang boleh dikembangkan.
''Sebagai contoh, UTHM boleh belajar dari UMS Link yang sudah jauh berada di hadapan dalam menarik kemasukan pelajar antarabangsa. Begitu juga sebaliknya, UTHM boleh menawarkan lebih banyak kemasukan pelajar dari Sabah dalam bidang kejuruteraan," ujarnya.
Sementara itu, Badaruddin berkata, adalah penting untuk menubuhkan syarikat dalam universiti kerana ia akan membantu menjana pendapatan di samping dapat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
''Dalam menjana pendapatan kepada universiti, kerajaan mensasarkan bahawa peratusan peruntukan kerajaan dapat dikurangkan memandangkan sekarang ini kebanyakan universiti bergantung 90 peratus peruntukan daripada kerajaan dan hanya 10 peratus dapat ditampung dari yuran pengajian.
''Kita yakin, apa pun kerjasama antara dua universiti sudah pasti dapat membuka peluang yang lebih baik untuk mengoptimumkan kegiatan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan audit negara yang dibentangkan di Parlimen tahun lalu, UTHM Holdings dan UMS Link adalah antara syarikat-syarikat IPTA yang berjaya mendapat keuntungan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: