JASA dan bakti yang ditabur Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail dalam pasukan angkatan tentera negara kini diabadikan pada Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim Ismail Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kem Perdana, Sungai Besi.
Pengabadian namanya di perpustakaan UPNM berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis baru-baru ini.
Allahyarham Ibrahim mempunyai banyak rakaman peristiwa penting sama ada yang bersifat peribadi atau pun rasmi.
Ibrahim terlibat dalam banyak peristiwa genting dan penting sejak menyertai Kadet Pasukan Tentera Johor pada 1941 sehingga bersara sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia pada 1 Disember 1977.
Antara peristiwa yang pernah beliau saksi dan harungi ialah ketika Tanah Melayu di bawah pemerintahan Jepun, Pentadbiran Tentera British (BMA), pemerintahan Malayan Union, tempoh masa ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan Darurat dari tahun 1948 hingga 1960.
Sebagai pegawai kanan tentera, Allahyarham turut terjebak dalam konfrontasi dengan Indonesia dari 1964 hingga 1968 dan menangani rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei 1969.
Allahyarham turut memainkan peranan besar dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air di samping membantu merealisasikan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Pada masa yang sama, Allahyarham pernah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein serta Tun Hussein Onn.
Selaku Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, senario itu membolehkan Allahyarham turut berperanan sebagai arkitek ke arah pemodenan Angkatan Tentera Malaysia.
Liku-liku perjalanan hidup Ibrahim yang penuh warna-warni, menarik untuk dihayati meskipun beliau sering dihimpit kepayahan serta keperitan, bertarung dengan perasaan untuk membuat keputusan sukar selain sering dihambat tuntutan kebijaksanaan bagi melaksanakan arahan yang diberikan.
Ada kalanya beliau terpaksa bergelut dengan tuntutan keluarga yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan belaian sedangkan Allahyarham kerap kesuntukan masa untuk mengatur strategi terutama bagi menangani keganasan yang dilakukan Parti Komunis Malaya.
Lagi pula, profesion ketenteraan amat mencabar dan ia memerlukan keberanian, ketahanan mental dan fizikal, komitmen yang kadangkala melampaui keupayaan dan sering membelakangi kebajikan diri sendiri termasuk keluarga tercinta.
Sudah tentu sepanjang berkecimpung dalam dunia ketenteraan, banyak peristiwa pahit dan manis yang dilalui setiap individu yang bergelar anggota tentera.
Malah, kehebatan seseorang tentera itu sering dinilai daripada kebijaksanaan dan keberanian yang ditunjukkan sepanjang perkhidmatan terutama bagi mereka yang berjaya menewaskan musuh ketika pertempuran berlaku.
Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Tentera Negara India sebelum secara sukarela menyertai Pasukan Force 136.
Allahyarham pernah ditawan Tentera Jepun dan bertindak sebagai ejen perisikan yang menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada pihak Tentera Berikat walaupun ia amat berbahayakan.
Melalui gerakan-gerakan sulit itu, sedikit sebanyak dapat membantu menyumbang kepada kekalahan Tentera Jepun di Tanah Melayu.
Cabaran berat
Ibrahim berjaya merekodkan dengan jelas pengalaman-pengalaman itu melalui bukunya Sudahkah Kamu Bertemu Mariam?
Kisah yang dirakamkan sangat hidup, penuh cabaran dan menceritakan bagaimana sukarnya untuk membuat sesuatu pilihan dan keputusan yang terbaik pada zaman perang.
Selepas Perang Dunia Kedua, Ibrahim terbabit mengikuti secara dekat arus pergolakan dan perkembangan politik ketika itu sehingga dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru.
"Bagaimanapun, jiwanya lebih menebal untuk berjuang dengan mengangkat senjata dan kembali menyertai tentera selepas itu.
Semasa awal darurat, Ibrahim turut membantu kerajaan Johor menubuh dan memperkemaskan pasukan Kampung Guards dalam usaha menentang keganasan komunis dan ia berjaya dilakukan dengan cemerlang sekali.
Allahyarham kemudiannya memasuki fasa kedua dalam kerjaya ketenteraannya apabila diterima berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja.
Antara tugas dan cabaran berat yang menanti Allahyarham ketika itu ialah memperjuangkan maruah dan hak samarata pegawai tempatan dengan pegawai British.
Berkat keberanian dan kelantangan Allahyarham serta rakan-rakan yang lain, akhirnya pihak British terpaksa tunduk dengan tuntutan mereka.
Selepas kejayaan tersebut, kerjaya Allahyarham terus berkembang dan berjaya mencipta sejarah baru termasuk menjadi anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pemerintah pasukan atau formasi.
Sewaktu peristiwa 13 Mei 1969, Allahyarham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Gerakan Negara (Mageran) sehinggalah ia dibubarkan.
Peranan itu dilaksanakan dengan jayanya apabila waktu tersebut dianggap tempoh masa yang amat sukar dan mencabar bagi Allahyarham berdasarkan keadaan senario politik yang tidak menentu.
"Perjalanan Allahyarham sebagai Panglima Angkatan Tentera selama kurang lebih tujuh tahun pula telah membolehkan Allahyarham melakukan berbagai perubahan dan meletakkan asas yang kukuh terhadap pembangunan dan kemajuan ATM pada pada masa kini.
Ibrahim juga merupakan penerima pertama Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengajian Strategik) UPNM semasa Konvokesyen Pertama UPNM yang berlangsung pada 10 Oktober 2010.
Sementara itu Naib Canselor, UPNM, Datuk Wira Allatif Mohd Noor berkata, UPNM berterima kasih kepada kerajaan, swasta dan individu yang terlibat membantu merealisasikan kewujudan perpustakaan universiti itu yang serba canggih serta berkemampuan memenuhi keperluan semasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: