Wednesday, February 15, 2012

Pengambilan mulai September ini

BATU PAHAT 14 Feb. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan memperkenalkan kursus Sarjana Kejuruteraan Kereta Api, program pertama seumpamanya di negara ini dengan pengambilan pertama bermula September ini.

Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, program yang akan mengambil masa selama dua tahun itu dilaksanakan secara sepenuh dan separuh masa di bawah kendalian Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

"Dalam merealisasikan rancangan ini, tenaga pakar UTHM telah melaksanakan pelan tindakan komprehensif sejak setahun lalu, antaranya membuat sesi lawatan dan perbincangan dengan agensi kerajaan, syarikat, institut penyelidikan dan universiti berkaitan industri kereta api.

"Antaranya Sheffield Hallam University, Scomi Engineering, Malaysian Railway Academy (MyRA), Moscow State University for Railway Engineering dan beberapa industri pengangkutan rel di Rusia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, UTHM juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) pada 30 Januari lalu bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan kereta api.

Kerjasama itu membabitkan penggunaan fasiliti serta tenaga pakar UTHM serta melaksanakan program akademik, perolehan kemudahan akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi pengangkutan rel.

MoU itu juga memberi peluang kepada kakitangan Prasarana daripada bahagian rel untuk melanjutkan pengajian dengan lima tempat diperuntukkan kepada kakitangan syarikat itu daripada setiap 20 penuntut kursus itu.

Prasarana pula menawarkan pekerjaan kepada penuntut UTHM yang mencatatkan keputusan cemerlang dan mempunyai kewibawaan untuk melibatkan diri dalam industri terbabit.

MoU tersebut ditandatangani oleh Mohd. Noh Dalimin dan Pengarah Urusan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar dengan disaksikan oleh Pendaftar UTHM, Sulam Hamid bersama Ahli Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Sufri Mohd. Zin.

Prasarana merupakan sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi memudah, melaksana dan mempercepatkan projek infrastruktur yang diluluskan oleh kerajaan.

Prasarana dan syarikat kumpulannya adalah pemilik dan pengendali beberapa perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang, antaranya sistem transit aliran ringan (LRT) laluan Ampang dan Kelana Jaya, sistem monorel Kuala Lumpur dan rangkaian bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang serta perkhidmatan kereta kabel di Langkawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: