Sunday, February 19, 2012

Teratak Pak Ajis di Rasta


PAK AJIS (kiri) menjadi penasihat Abu (tengah) dan Nik Syafiq (kanan) yang mahu memartabatkan kembali resipi keluarga Pak Ajis.


“DAHULU, ayah dan ibu saya berniaga mi rebus dan soto. Tolak pakai kereta sorong di Singapura. Mula pukul 10 pagi dan pukul 1 tengah hari sudah selesai,” Datuk Aziz Satar membuka cerita yang disimpan kemas dalam memorinya.

“Ayah saya dahulu seorang pemandu kemudian dia kemalangan. Jadi trauma untuk memandu, dia kemudian membuka perniagaan kecil tersebut. Ayah saya belajar buat mi rebus dengan seorang pelakon bernama Malik Sutan Muda,” katanya yang lebih akrab dipanggil Pak Ajis.

“Dulu saya gemar makan mi rebus masakan seorang penjual mi berketurunan Jawa yang pikul mi rebusnya dan jual depan gereja. (Pemimpin Singapura) Lee Kuan Yew pun (pernah) makan di situ. Sebelah penjual mi itu, ada India jual karipap. Jadi kalau makan mi rebus orang Jawa tu, saya akan patah-patahkan karipap dan masuk dalam mi itu. Sedap betul,” sambungnya yang sempat belajar sedikit resipi mi rebus tersebut.

Lalu resipi keluarga dan pengamatannya turun kepada adiknya dan kini diwarisi oleh keluarganya. Tidak mahu resipi itu lenyap begitu sahaja, warisan ini kemudian turun kepada cucu Pak Aziz yang bernama Abu Ubaidah Ishak.

Bertempat di Rasta Taman Tun Dr. Ismail, cucu Pak Ajis, Abu membuka gerak makan mi rebus bersama rakan kongsinya, Nik Syafiq. Pak Ajis bertindak menjadi penasihat dan pemantau perjalanan bisnes anak muda itu.

Mula beroperasi sejak 4 Februari lalu, Teratak Pak Ajis dibuka setiap hari bermula pukul 7 malam hingga 2 pagi. Dengan harga semurah RM6.90 sepinggan, mi rebus tentunya mengenyangkan.


AMY Search sempat membuat kunjungan ke Teratak Pak Ajis.


“Mi rebus Singapura adalah sesuatu yang baharu dan jarang dijumpai di Kuala Lumpur. Jadi, timbul idea untuk membuka bisnes berasaskan menu ini,” ujar Abu yang menganggap makanan berkenaan tidak berat untuk dijadikan juadah makan malam.

“Kami memilih Rasta kerana tempatnya strategik. Di Kuala Lumpur semua orang sudah tahu Rasta dan selalu dikunjungi anak-anak muda dan selebriti. Mereka lepak sampai tengah malam, jadi mi rebus ini sesuai dijamah buat makan malam,” sambung Nik yang sudah mengenali Abu sejak zaman sekolah lagi.

Bermodalkan RM7,000, kedua-dua anak muda ini memberanikan diri membuka bisnes dan berniaga pada malam hari kerana keduanya bekerja tetap pada siang hari.

“Kami mempunyai impian yang sama. Selepas beberapa perbincangan, saya dapat idea untuk jadikan mi rebus dengan resipi keluarga sebagai salah satu mata pencarian. Awalnya kami nak jual kepak ayam, tetapi memandangkan sudah ada resipi keluarga, kami kemudian sepakat menjadikan mi rebus sebagai menu utama,” tambah Abu yang sebelum ini hanya belajar resipi tersebut untuk santapan keluarga. Kini ilmu itu sudah diturunkan kepada Nik.

“Alhamdulillah, sambutannya bagus. Kalau hari biasa kami boleh jual sekitar 30 pinggan mi rebus tetapi ia meningkat kepada 50 pinggan pada hujung minggu. Ramai rakan artis yang menyukai mi rebus kami antaranya Ana Raffali, Zed Zaidi, Tam Spider, Pekin Ibrahim, Didie Alias, Neelofa dan Ika Nabila,” ujar Nik yang menghidangkan mi rebus buat Amy Search yang datang berkunjung sewaktu temuramah diadakan.

Untuk Pak Ajis selaku penasihat, dia cukup berbangga melihat Abu dan Nik meneruskan warisan keluarga.

“Saya selalu bilang kepada mereka, jangan lokek. Orang makan dan bayar jadi kita perlu puaskan selera pelanggan. Hidangan perlu bagus dan orang yang makan akan doakan kita,” ucap Pak Ajis.

Maklumat lanjut berhubung mi rebus Pak Ajis boleh di dapati dalam laman sosial www.facebook.com/teratakpakajis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: