Sunday, February 19, 2012

Mahu terjun ya?


ANTARA adegan mencemaskan dalam filem arahan Asger Leth.


NICK CASSIDY berdiri di luar tingkap tingkat 21 Hotel Roosevelt. Dia meninggalkan sekeping nota dan menghapuskan segala bukti berupa cap jari, kemudian Nick berdiri di birai tingkap hotel sehingga disedari oleh para pejalan kaki di bawah.

Watak Nick yang dibawa Sam Worthington dimulai dengan misteri motif berdiri di birai. Sama ada untuk menamatkan nyawa atau punya konspirasi tersendiri, khalayak bakal tertanya-tanya. Penonton kemudian dibawa mengimbau beberapa bulan sebelum kejadian berani mati itu terjadi, Nick meringkuk dalam penjara akibat kesalahan merompak.

Permintaan Nick mudah, dia mahu bertemu seorang anggota polis wanita bernama Lydia Mercer yang pernah mengendalikan satu kes bunuh diri sebelum ini. Di birai hotel itu, mereka bertukar cerita dan proses pujuk-memujuk berlaku. Bangunan di hadapan hotel yang menjadi tumpuan khalayak itu terjadi sebuah lagi perjalanan cerita.

Adik Nick lakonan Jamie Bell dan kekasihnya sedang berusaha mencari sebutir berlian yang menjadi asas polemik. Bergaduh dan bertegang leher secara manja, Joey Cassidy dan Angie bersama berusaha menerobos masuk ke dalam ‘istana’ yang sebenar adalah sekam dalam filem ini. Istana milik David Englander lakonan Edd Harris.

Perjalanan cemas itu ada dalam filem ini dan penonton dibawa ‘terjun’ sama dalam kegelisahan dua situasi yang menuntut masa dan ketepatan dalam misi mereka.

Secara lakonan, Sam bersahaja dan bukanlah pada tahap yang membanggakan menjadi seorang lelaki di birai tingkap. Diselit dengan pergaduhan remaja lakonan Jamie dan Genevie, khalayak pasti tertarik melihat lentuk liuk badan pelakon tersebut. Untuk para peminat Edd Harris, aktor ini hanya tampil biasa-biasa.

Sutradara filem dokumentari, Asger Leth membawa filem ini bergerak dengan baik. Ada ketikanya kita berasa cemas dan mahu mempercepatkan langkah para pelakon. Namun kadangkala kita berasa hilang gayatnya berada di birai tingkap atas lakonan Sam yang kurang ekspresi di wajahnya.

Komen Sofia: Buat yang gayat, bolehlah mencuba menangani perasaan itu dengan menonton filem ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: