Sunday, February 19, 2012

Tai perintis ‘apa celop toq’


BERSYUKUR atas peluang dan jalan terang yang sedang terhampar untuknya, Tai cuma berharap akan ada variasi watak untuknya. Jika komedi sekalipun, biarlah watak itu antara penyumbang pembangunan jalan cerita.


WATAK Kunyit dalam filem Hantu Bonceng dilihat sebagai pembuka pintu rezeki buat Taiyuddin Bakar yang mesra dipanggil Tai, 29.

“Dahulu saya tak beranipun nak tulis perkataan ‘pelakon’ dalam petak pekerjaan jika isi borang rasmi, sekarang saya sudah boleh mengaku itulah pekerjaan saya,” kedengaran lucu tapi ada makna di sebalik kata-kata Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-24 itu.

Bakal mengisi panggung melalui Jangan Pandang-Pandang dan Mael Lambung, Tai akan bersama Ahmad Idham sekali lagi dalam teater Gerimis Mengundang, pada bulan hadapan.

Perjuangan Tai bukan bermula dari pentas realiti sebaliknya dia berdikit-dikit hampir 10 tahun. Boleh dikatakan terperuk dengan kerja-kerja pentas dan teater, sepanjang tempoh itu, sakunya sering kekeringan malah ada masanya Tai makan nasi berlauk garam.

“Tawaran dahulu tak macam sekarang, dulu asyik berfikir, bila lagi akan dipanggil ke lokasi. Saya dan kawan serumah pernah makan nasi berlauk garam, sengaja saya tidak mahu minta bantuan ibu bapa padahal mereka tinggal di Kelana Jaya sahaja, saya mahu berdikari,” katanya.

Diinspirasikan daripada filem komedi Hantu Bonceng, Apa Celop sekali lagi mempersembahkan Tai sebagai mat rempit dan masih dalam naskhah kelakar. Sekadar bertukar nama daripada Kunyit menjadi Sawi, Tai ditanya soal impak watak. Dia masuk ke industri lakonan arus perdana tetapi harus berkompromi dengan watak-watak komedi dan ulang tayang.

“Saya tidak akan mampu jadi hero macho macam Aaron Aziz. Penonton sekarang juga kenal dan tahu baca karakter dalam lakonan. Jadi, watak harus sesuai dengan pembawanya.

“Ada orang lihat saya sebagai pelakon komedi, sedangkan saya seorang yang serius. Ada juga yang bertanya, saya ini peserta Raja Lawak musim ke berapa?

“Saya lihat watak Kunyit sebagai salah seorang pelakon yang sangat dipengaruhi filem Hantu Bonceng, itu sahaja yang boleh bezakan watak saya kali ini berbanding filem,” katanya yang besar hati ayat ‘apa celop toq’ sedang menjadi ikutan sedangkan ia kali pertama diperkenalkan Kunyit dalam Hantu Bonceng.

Tambah Tai: “Rasanya saya yang cipta ayat itu, masa sebelum penggambaran dahulu, saya fikir filem perlukan sesuatu yang lain selain lakonan, idea itu timbul semasa saya makan stim bot celup tepi jalan. Saya tanya kawan-kawan, mereka pun mula-mula tak faham.

“Ia bahasa pasar yang boleh guna dalam situasi seperti tak puas hati, atau bertanya khabar. Saya fikir ayat itu akan semakin kerap digunakan, kerana macam sedikit berlapik berbanding, ‘apa hal’ atau ‘kau ni dah kenapa’.

Ape Celop disiarkan bermula esok pukul 9 malam menerusi slot Aksi. Selain Tai, ia turut dibarisi pelakon lain seperti Kamal Adli, Ika Nabila, Zed Zaidi serta Shenthy Feliziana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: