Saturday, February 4, 2012

Sungai Lembing El-Dorado Timur


WARTAWAN S2, Mohd. Fairuz Yusof (kiri) bersama kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) keluar dari salah satu terowong perlombongan bijih timah Taibeto yang kini sedang dinaik taraf untuk dijadikan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sungai Lembing, Kuantan.


MENYUSURI pekan Sungai Lembing yang terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang, kita akan merasai seolah-olah berada di zaman 60-an atau lebih tepat seperti melihat adegan masyarakat kampung dalam filem-filem Melayu lama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Deretan kedai yang seni binanya tidak berubah sejak zaman berzaman lalu masih megah berdiri.

Sementelah kebanyakan penduduknya terdiri daripada golongan warga emas berikutan generasi muda ramai yang berhijrah ke bandar.

Istimewanya Sungai Lembing ialah ia merupakan pusat perkembangan ekonomi yang cukup gah dan termasyhur di dunia suatu waktu dahulu dek kerana aktiviti perlombongan bijih timah.

Lombong bawah tanahnya adalah yang terdalam dan terpanjang di dunia iaitu kira-kira 610 hingga 700 meter dalam dan 322 kilometer panjang.

Ada juga bekas-bekas pelombong menyatakan kehebatannya melangkaui perlombongan bijih timah di Lembah Kinta, Perak seperti yang tercatat dalam buku mata pelajaran sejarah pelajar sekolah kerana aktiviti perlombongannya telah wujud sejak zaman prasejarah lagi.

Hasil bijih timah inilah yang menyebabkan wujud perkampungan Inggeris di Sungai Lembing sehingga diberi jolokan ‘El Dorado Timur’.

El Dorado dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘yang bersepuh emas’ dan merujuk kepada legenda seorang ketua suku di Amerika Selatan yang meliputi dirinya dengan debu emas sebagai simbol kepada kekayaan negaranya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: