Saturday, February 4, 2012

Pasar malam tepi pantai meriah


Suasana sibuk menjelang pukul 12 tengah malam di sekitar kawasan pantai berhampiran pusat beli-belah Queensbay Mall, Pulau Pinang.


BAGAIKAN pasar malam mini yang berwarna-warni di tepi pantai. Itulah pemandangan pada setiap malam di kawasan pantai berhampiran dengan pusat beli-belah Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Ketika operasi pasar malam di tempat lain mula ditutup menjelang detik 12 tengah malam, suasana berbeza dapat disaksikan di sekitar kawasan pantai sepanjang satu kilometer itu.

Puluhan peniaga dilihat masih sibuk melayan pelanggan mereka yang kebanyakannya datang bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Aneka makanan seperti jagung bakar, jeruk buah, makanan ringan, laksa dan bihun sup boleh didapati.

Terdapat juga peniaga yang menawarkan barangan lain seperti pakaian terpakai, kasut, permainan kanak-kanak serta layang-layang.

Di atas batu pantai yang menghadap Pulau Jerejak pula, aktiviti seperti memancing, memetik gitar atau sekadar melepak sambil menikmati makanan ringan boleh dilihat.

Menurut seorang pengunjung, Mohd. Shaiful Nizam, kawasan tersebut sesuai untuk dijadikan tempat memancing kerana tidak berombak.

"Biasanya ikan yang paling banyak didapati ialah senangin dan pari.

"Setiap hujung minggu, memang saya dan kawan-kawan akan ke sini untuk memancing dan bersantai," katanya yang datang dari Juru, Bukit Mertajam.

Semasa tinjauan di situ juga didapati sekumpulan anak muda kelihatan amat gembira apabila berjaya menaikkan beberapa ekor ikan pari.

Peniaga jagung, Fakhrul Roji pula memberitahu, dia mula berniaga di situ dari pukul 3 petang hingga 3 pagi setiap hari.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama pada hujung minggu.

"Kawasan ini memang menjadi pilihan untuk beriadah bersama keluarga kerana suasananya yang santai, lebih-lebih lagi apabila dapat menikmati angin laut pada waktu malam.

"Pelanggan saya pula bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan malah ada yang datang dari Perak, Kedah dan Perlis," ujarnya.

Bagi yang sukar melelapkan mata dan tidak tahu bagaimana mahu menghabiskan waktu, mungkin kawasan pantai berhampiran Queensbay Mall boleh dikunjungi.

Pasti kunjungan anda ke situ tidak akan sia-sia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: