Saturday, February 4, 2012

205 penuntut kolej PTPL dirai dalam Majlis Anugerah Presiden


Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid bersama penerima sijil pada Majlis Anugerah Presiden di Kampus Induk MSU Shah Alam, di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 1 Feb. - Seramai 205 penuntut Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan Kolej PTPL Sentral dan Ampang diraikan sempena kejayaan mereka dalam akademik dan kokurikulum pada Majlis Anugerah Presiden di kampus induk Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di sini semalam.

Seramai 24 daripada mereka menerima Anugerah Presiden manakala tujuh orang pula menerima Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah Pengajian di peringkat diploma dan sijil setelah berjaya mengekalkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.75 selama tiga semester berturut-turut.

Kesemua penuntut cemerlang itu menerima sijil dan wang tunai RM300 yang disampaikan oleh Presiden Kumpulan Kolej PTPL dan MSU, Prof. Datuk Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Mohd. Syukri ketika ditemui berkata, pemberian anugerah itu merupakan sebahagian daripada visi kolej PTPL dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di kalangan para penuntut.

Menurutnya, Kolej PTPL yang mempunyai kampus induk di Shah Alam serta sembilan kampus cawangan di seluruh Malaysia mempunyai bilangan penuntut lebih 25,000 orang.

Sementara itu, penuntut Diploma Teknologi Maklumat, Ahmad Syahir Muhammad, 20, berkata, dia berjaya merangkul tiga anugerah sekali gus iaitu Anugerah Presiden, Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah Pengajian dan Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan hasil tunjuk ajar para pensyarah serta sokongan padu ibu bapanya.

Katanya, Kolej PTPL menyediakan bidang pengajian yang terbaik sekali gus memudahkan graduannya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

"Jika diberi pilihan, saya bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang teknologi maklumat di Australia atau Jepun," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: