“MEMANG betul nama dia Skoda? Tak pernah dengar pun?” kata seorang rakan ketika saya memberitahu kereta yang dipandu uji pada hujung minggu lalu ialah sebuah sedan eksekutif buatan Skoda.
Saya sebenarnya agak terkejut kerana masih ramai yang tidak sedar tentang kewujudan jenama tersebut. Sebabnya mudah, walaupun jumlah kenderaan Skoda tidaklah banyak di atas jalan raya, tetapi bukan baru setahun dua ia dijual oleh pengedarnya iaitu AutoPraha Sdn. Bhd. (AutoPraha).
Ironinya, Skoda ialah satu nama besar terutama di pasaran tengah dan timur Eropah. Malah, jenama yang datang dari republik Czech itu mampu mencatat jualan memberangsangkan di sebalik kemelut ekonomi yang melanda rantau tersebut.
Antara sebab utama ialah harganya yang lebih murah. Biarpun murah, Skoda tidak berkompromi dengan kualiti buatan dan prestasinya. Malah, kualitinya boleh dianggap setara dengan mana-mana pesaingnya yang berharga jauh lebih mahal.
Namun, persoalan harga mungkin tidak relevan untuk ditekankan jika dilihat kepada situasi di Malaysia. Betul, secara relatifnya harga sebuah Skoda agak murah kalau hendak dibandingkan dengan jenama Eropah lain yang sekelas dengannya. Namun jenamanya yang tidak kuat membuatkan orang ramai skeptikal untuk memilikinya.
Maka tidak hairanlah jika di pasaran tempatan, Skoda masih di peringkat merangkak. Ia masih cuba mencari justifikasi kenapa pembeli harus memilihnya dan bukan jenama lain. Jadi, cara paling mudah adalah dengan memandunya sendiri dan membuat penilaian tanpa rasa prejudis.
Peluang memandu Skoda Superb selama lima hari (terima kasih kerana cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam) menguatkan lagi persepsi saya terhadap jenama itu. Superb ialah sebuah kereta yang bagus, tetapi aspek itu mungkin dikaburi oleh nama, rekabentuk atau persepsi orang terhadapnya.
Saya beritahu anda kenapa ia sebuah kereta yang patut diberi perhatian. Superb ialah sedan yang menggunakan platform Volkswagen Passat dan dipanjangkan. Saiznya cukup luas sehinggakan ada rebiu yang menyatakan saiznya hampir sama dengan sedan BMW 5 Series dan Ford Mondeo.
Jadi, anda boleh mengharapkan ruang kabin dan kargo yang besar. Ruang kaki dan kepala lebih daripada yang anda harapkan. Tempat duduknya yang dibalut kulit itu juga selesa. Bagi pemandu pula, tempat duduknya boleh dilaras secara elektrik.
Butang-butang kawalan audio dan pendingin jawa yang ada pada papan pemuka serta stereng tidak rasa murah. Paparan audionya ringkas, dihias dengan bingkai lampu warna korporat Skoda iaitu hijau. Ketika mengundur, ia akan memaparkan grafik kereta supaya anda lebih berhati-hati.
Bernaung di bawah gergasi automotif Eropah Volkswagen, Skoda menerima teknologi terbaiknya walaupun mungkin ada sesetengahnya sedikit lama.
Maka, Superb dipasang dengan enjin bersesaran 1.8 liter turbocharged. Berupaya menjana kuasa sehingga 158hp, ia dapat dirasa dengan ketara. Tekan sahaja pedal minyak, transmisi DSG tujuh kelajuan pantas menurunkan gear untuk mendapatkan momentum.
Tidak dibekalkan dengan paddle shifter, anda bagaimanapun boleh menukar gear secara manual menggunakan tuil gear. Tetapi, saya tidak rasa itu perlu kerana kotak gear DSG sudah dapat melaksanakan tugasnya dengan cukup baik.
|
|
Dari segi penggunaan bahan api pula, Superb boleh dianggap menjimatkan. Dari Kuantan ke Kuala Lumpur dengan kelajuan sekitar 120 hingga 135kilometer sejam (km/j) pada kebanyakan masa, minyak yang habis cuma satu perempat tangki.
Maksudnya, ia bukan sekadar memberikan keseronokan setiap kali pedal minyak ditekan, malah anda tidak perlu susah hati kerana perlu kerap berkunjung ke stesen minyak.
Baiklah, cakap banyak-banyak pun tidak guna kalau anda tidak percaya. Pandu sendiri dan rasa karekter pemanduannya. Kalau dinilai dari segi luarannya,ia tetap mempunyai penampilan yang maskulin dan meyakinkan. Sekurang-kurangnya lebih cantik berbanding generasi sebelumnya.
Saya tidak kata Superb sebuah kereta yang sempurna, tetapi ia layak diberi penilaian yang lebih adil.
Kalau berminat, Superb menjadi milik anda pada harga RM206,520 seunit (termasuk insurans).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: