Saturday, February 11, 2012

Destinasi wajib libur di Singapura



SEJAK dahulu lagi, Singapura sememangnya dekat di hati masyarakat di negara ini. Faktor itu berkait rapat dengan sejarah dan susur-galur masyarakat antara kedua-dua negara yang sedia terjalin walaupun dipisahkan oleh Selat Tebrau.

Sesuai dengan frasa pelancongan Uniknya Singapura, negara itu sarat kepelbagaian budaya, aktiviti hiburan dan membeli-belah, destinasi pelancongan dan syurga gastronomi yang menyelerakan.

Horizon pada minggu ini mencadangkan beberapa tarikan pelancongan popular di negara yang terkenal dengan jolokan Kota Singa itu.

Marina Bay

Terletak bahagian selatan Singapura, Teluk Marina merupakan lokasi popular bagi pengunjung yang mahu bersantai, beriadah dan berhibur. Dibangunkan pada sekitar tahun 1970-an melalui proses penambakan mega, teluk buatan itu dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit, taman-taman yang menghijau serta panorama laut yang membiru.

Di situ juga terletaknya salah satu mercu tanda yang cukup terkenal di Singapura iaitu Merlion, patung figura makhluk bertubuh ikan dan berkepala singa serta mengeluarkan pancuran air.

Lokasi itu juga sering menjadi tuan rumah beberapa acara utama antaranya Singapura Grand Prix, Hari Kemerdekaan Singapura, Sambutan Tahun Baharu dan Festival Bunga Api Singapura.

Kini, Marina Bay mengalami transformasi secara besar-besaran sebagai bandar moden baharu yang menjadi hab perniagaan dan kewangan terulung di negara itu.

Antara tarikan lain yang boleh dikunjungi sepanjang berada di situ ialah Marina Bay City Gallery, Waterfront Promenade, Gardens by the Bay, Esplanade, Singapore Flyer dan Sands SkyPark.

Pulau Sentosa

Pulau percutian ini merupakan sebuah pulau di sebelah selatan Singapura dan merupakan antara destinasi paling popular di negara itu.

Turut menempatkan lokasi sejarah Fort Siloso, Pulau Sentosa menyimpan pelbagai sejarah dan pernah menjadi benteng pertahanan tentera Inggeris semasa Perang Dunia Kedua dahulu.

Menggabungkan taman tema, pelancongan tropika, hutan simpan dan pusat bagi aktiviti kebudayaan, pulau seluas 390 hektar itu boleh diakses melalui kereta kabel, feri dan jalan darat.

Pulau itu juga menawarkan aneka permainan dan sukan air yang tersedia di pesisir pantai sepanjang 3.2 kilometer merentangi Siloso, Palawan sehingga ke Tanjong.


BERHIBUR dan berfantasi dengan pelbagai keunikan di taman tema Universal Studios Singapura.


Salah satu tarikan di pulau itu ialah Underwater World Singapore iaitu sebuah akuarium yang menjadi habitat lebih 2,500 hidupan laut daripada 250 spesies. Akuarium itu telah dilawati lebih 20 juta pelawat sejak dibuka pada tahun 1991.

Di samping itu pengunjung juga melihat pelbagai telatah dan persembahan ikan lumba-lumba ketika melawat Dolphin Lagoon, menyaksikan ribuan spesies kupu-kupu dan serangga di Butterfly Park dan Insect Kingdom atau ke Merlion Park setinggi 37 meter panorama sekitar pulau itu dan pulau-pulau lain sekelilingnya.

Pada masa yang sama, pulau itu juga mempunyai tarikan terbaharu iaitu puncak tinjau, Imbiah Lookout, yang membolehkan pengunjung menjunam ke bawah pada ketinggian 131 meter sambil dibasahi percikan air dengan menaiki go-kart.

Bagi kaki wayang pula, jangan lupa merasai satu pengalaman kembara wayang yang cukup mengagumkan di pawagam 4D terbesar di Asia Tenggara, Sentosa 4D Magix.

Universal Studios Singapura

Ia merupakan taman tema Universal Studios Singapura (USS) pertama di Asia Tenggara dan yang kedua di Asia selepas di Osaka, Jepun.

Terletak dalam kawasan gabungan empat buah hotel di Resort World Sentosa (RWS) Singapura seluas 49 hektar, USS mula dibina pada tahun 2007 dengan kos sekitar AS$4.32 bilion (RM14.85 bilion).

Dibuka secara rasmi pertengahan tahun lalu, USS mengetengahkan 24 permainan tunggangan dengan tarikan dalam tujuh zon bertema seperti Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World dan Far Far Away.

Selain melihat kecanggihan teknologi perfileman Holywood, pengunjung juga berpeluang bergambar dengan karakter-karakter filem terkenal seperti si beruang panda Po dari filem Kung Fu Panda, Woody Wood Pecker, makhluk Frankenstein, aktres Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Beetlejuice dan Betty Boop.

Kini, USS juga mengujakan pengunjung melalui tarikan Madagascar, Muzium Xperimental Maritim dan Transformers. Taman Kehidupan Marin pula dijangka dibuka pada tahun ini.

Taman Burung Jurong


ORCHARD ROAD sentiasa menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai gajet dan fesyen terkini.


Ia merupakan antara destinasi pelancongan yang sangat popular di Singapura terletak di Bukit Jurong. Taman seluas 50 hektar itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 1971 dengan kos sebanyak RM8.5 juta.

Diiktiraf antara taman burung yang terbesar di dunia dengan menyimpan lebih 5,000 burung daripada 380 spesies termasuk lebih 28 spesies terancam dari seluruh dunia.

Di samping itu, taman tersebut juga giat melakukan kerja-kerja konservasi dan pembiakan seperti spesies burung Twelve-wired Bird. Pada masa yang sama, ia juga merupakan satu-satunya taman burung yang dilengkapi hospital dan pusat penyelidikan untuk kajian.

Sepanjang berada di taman ini, pengunjung pasti teruja melihat pelbagai tarikan yang disediakan. Antaranya, Bird Discovery Centre, African Waterfall Aviary, Lory Loft, Windows on Paradise, Southeast Asian Birds Aviary dan African Wetlands.

Zoo Singapura

Dikelilingi kawasan hutan tropika, Zoo Singapura merupakan zoo terbuka yang terkenal di dunia. Zoo itu dihuni lebih 2,500 haiwan daripada 216 spesies dengan 36 peratus daripadanya merupakan spesies terancam.

Sejak dibuka, ia telah mencipta reputasi di peringkat antarabangsa atas pelbagai usaha konservasi dan program pembiakan yang dilaksanakan.

Pada tahun 2009, ia telah dikunjungi lebih 1.6 juta pengunjung yang mahu melihat sendiri kepelbagaian spesies haiwan yang di kawasan seluas 28 hektar itu.

Pada masa yang sama, pengunjung boleh melihat telatah pelbagai haiwan dalam persembahan khas di Rainforest Fights Back, Splash Safari dan Elephants at Work and Play.

Pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan yang jarang dijumpai seperti harimau putih dan yang lazimnya hidup di negara-negara beriklim sejuk, beruang koala dan kanggaru.

Salah satu tarikan baharu di zoo itu ialah Rainforest Kidzworld yang menawarkan pelbagai permainan bersifat mendidik namun, tetap menghiburkan.

Di taman ini, kanak-kanak boleh bermain air dan ombak, di samping melakukan aktiviti lasak seperti flying fox serta menunggang keldai atau bermain bersama arnab, guinea pig dan kambing yang jinak.


KEINDAHAN panorama pantai boleh dinikmati jika berkunjung di sekitar Piloso, Palawan atau Tanjong.


Orchard Road

Jika Kuala Lumpur terkenal dengan laluan Jalan Bukit Bintang, Singapura pula mempertaruhkan Orchard Road.

Pada awal kurun ke-19 dahulu, laluan itu hanyalah kawasan pertanian kedudukannya yang agak rendah menyebabkan ia sering dilanda banjir.

Namun, perkembangan pesat ekonomi Singapura menyaksikan Orchard Road pantas berubah wajah.

Hari ini, kawasan sekitarnya dipenuhi puluhan bangunan pencakar langit seperti hotel, ruang pejabat dan kompleks beli-belah.

Salah sebuah pusat beli-belah yang boleh dikunjungi ialah Tanglin Shopping Centre yang merupakan antara kompleks terawal di laluan itu. Ia menjual pelbagai produk seni, pakaian, aksesori, perabot dan barangan antik dan galeri kraftangan.

Di samping itu, pengunjung juga boleh ke Orchard Central yang menginspirasikan elemen Sepanyol pada ruang hiasan dalamannya. Kehadiran bunga berwarna-warni dan taman-taman terbuka di sekitarnya pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum.

Dengan pusat beli-belah yang begitu banyak dan berbeza yang menjual pelbagai barangan dari fesyen dan aksesori, barang kemas, barangan elektronik, gastronomi dan penginapan mewah dan sebagainya, Orchard Road menawarkan lebih daripada apa yang dibayangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: