NISSAN ialah pengeluar kereta yang skema. Sejarah produknya bosan dan tidak menyeronokkan. Masakan tidak, kebanyakan kereta yang dipasarkan tiada apa yang boleh dikongsi atau diceritakan kelebihannya, sekadar cemerlang menjalankan tugas sebagai sebuah kereta.
Paling melucukan, tagline Grand Livina iaitu “Drives like a sedan, fits like an MPV”. Saya tidak faham apa yang cuba disampaikan kerana semestinyalah Grand Livina mempunyai karakter pemanduan seperti kereta sedan kerana sememangnya model itu adalah kereta sedan, cuma bezanya ialah bumbung yang labuh sampai ke belakang.
Kereta seperti itu dikenali sebagai wagon. Kadang-kadang kenyataan yang terlalu jujur juga boleh membuatkan kita keliru. Walau bagaimanapun, kenyataan di awal perenggan hanyalah bersifat umum sahaja kerana keuntungan daripada model-model massa itu dijadikan modal pusingan untuk kereta-kereta hebat dalam sejarah produk Nissan.
Buktinya terletak pada model-model seperti March SuperTurbo, Pulsar, SX, Silvia, Fairlady dan semestinya model paling ikonik iaitu Skyline.
Namun, kekentalan sesebuah syarikat tidak teruji jika tidak menerima musibah. Sejarah menunjukkan pada tahun 1999, Nissan mengalami masalah kewangan dan hampir bankrap. Sudahnya mereka menjalin pakatan dengan Renault.
Pakatan itu kemudian dikenali sebagai Renault-Nissan Alliance dan diikat dengan pertukaran saham. Renault memegang 44.3% saham dalam Nissan dan dikontrakkan dengan saham Nissan dalam Renault sebanyak 15%. Paling menarik, bos baharu Nissan ialah Carlos Ghosn, rakyat Brazil berketurunan Arab-Lebanon.
Buat pertama kalinya dalam sejarah berpuluh-puluh tahun Nissan, bos besarnya bukan seorang warga Jepun. Jika wujudnya ego dalam kalangan pekerja Nissan atau rakyat Jepun pada masa itu, pasti ego tersebut akan tercalar teruk.
Di bawah Carlos Ghosn dan pasukan pengurusannya, Nissan tampil dengan produk yang kemas dan kompetitif untuk bersaing dengan pengeluar kereta Jepun lain. Pada tahun 2011, Nissan mengalahkan Honda sebagai pengeluar kereta kedua terbesar selepas Toyota di Jepun.
Produk-produk moden Nissan ialah seperti X-Trail, March, Sylphy, Teana, Juke dan World Car of the Year 2011 iaitu Leaf.
Terbaharu, Nissan akan memperkenalkan kepada umum model konsep INVITATION di Geneva pada Mac nanti. Model itu berada dalam segmen B dan akan dipasarkan bersama dengan kereta bandar Micra dan crossover JUKE.
INVITATION membawa konsep rekaan yang bertenaga, berinovasi, segar, dan keseronokan ke dalam pasaran kenderaan massa. Bentuk aliran angin pada permukaan badannya tampak kemas dan mempunyai fungsi utama dalam aerodinamik.
Sisi badannya mempunyai garisan berkarakter dan dinamakan sebagai ‘Squash Line’. Ia menampakkannya sebagai rekaan dinamik. Sementara hasil gabungan rekaan bentuk depan dan belakang menjadikan posisi INVITATION nampak meyakinkan. Pada bahagian dalaman pula, rekaannya lebih kepada praktikaliti dan moden dengan ciri-ciri teknologi pelbagai fungsi.
Menggabungkan teknologi termaju, plaform Nissan yang ringan dan badan yang aerodinamik merupakan ciri-ciri dalam mencapai kecekapan minyak dan emisi rendah. Nissan mensasarkan emisi yang sangat rendah untuk INVITATION iaitu di bawah 100g/km untuk varian paling tinggi.
Malah, kesemua varian lain juga layak untuk menggunakan lencana Pure Drive sebagai lambang kereta yang jimat minyak dan mesra alam sekitar. Walaupun model itu terletak dalam kategori massa, Nissan mendakwa bahawa bayi baharu mereka itu memiliki pengendalian responsif serta mampu untuk bersaing dengan pesaing lain dalam segmen yang sama.
Untuk ciri keselamatan pula, INVITATION mempunyai teknologi canggih untuk sebuah kereta segmen B. Nissan melengkapkannya dengan Around View Monitor (AVM) yang memudahkan kerja parkir secara selari dan mengundur.
Sementara Nissan Safety Shield System pula mengawasi keadaan sekitar dan memastikan pemandu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kereta.
“Nama yang diberikan kepada model konsep ini boleh difahami dengan mudah. Ciri utama pada kereta kompak ini ialah ia sentiasa mengalu-alukan (inviting).
“Nissan INVITATION mengalu-alukan kerana rekaan luaran dan dalamannya yang luas serta selesa. Rekaannya dipakej secara bijak di dalam ruang yang kompak. Ia adalah jemputan Nissan kepada pelanggan dalam segmen hatchback,” kata Francois Bancon, Timbalan Pengurus Besar, Strategi Produk dan Divisyen Perancangan Produk Nissan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: