TEMPOH berbelas tahun hidup merantau di negara orang mengikut suami bertugas, akhirnya Shireen Salleh kembali ke tanah air dengan satu azam, iaitu untuk melakukan sesuatu yang berguna dan memberikan kepuasan kepada dirinya.
Pernah tinggal di Miri, Sarawak, Singapura dan kemudiannya di London selama 10 tahun menemani suami, Nik Rizal Kamil yang bekerja di syarikat minyak dan gas bagaimanapun tidak disia-siakan oleh wanita berkulit kuning langsat ini.
Semasa tinggal di Sarawak, Shireen mengikuti pengajian sarjana secara jarak jauh dan setelah suami ditugaskan di Singapura, beliau menyambung semula pengajiannya sehingga tamat.
Sifatnya yang tidak jemu menimba ilmu tidak sia-sia kerana berjaya menggenggam beberapa ijazah, Ijazah Perakaunan dan Kewangan dari University of East London, Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan daripada University of Adelaide, Australia, kursus jangka pendek dalam bidang rekaan fesyen dan tekstil, penjagaan rambut, solekan dan jahitan.
Di London, beliau yang kurang betah duduk sahaja di rumah, bekerja secara sambilan di sebuah kedai pengantin. Sambil itu, beliau membuat blog perniagaan sendiri secara kecil-kecilan.
''Daripada duduk sahaja di rumah melayan perasaan bosan, saya fikir lebih baik saya berniaga beg tangan, baju, aksesori dan sebagainya. Di London selalu diadakan jualan murah. Saya akan membeli barangan tersebut dan menjualnya secara online. Walaupun kecil-kecilan namun berbaloi juga,'' kata Shireen, 35 tahun yang ditemui di pejabatnya di Prima Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang tidak seberapa itu, Shireen kini bersyukur dan berbangga kerana mempunyai perniagaan sendiri.
Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, Nik Zanea, 10 tahun Nik Idriz, lima tahun dan Nik Raiz, tiga tahun, segalanya bermula di kota London dengan tercetusnya idea bagi mengeluarkan produk penjagaan rambut yang dinamakan Shaire London di bawah syarikatnya sendiri, Aikayya Global Sdn. Bhd.
Katanya, formulasi Shaire London yang dilancarkan pada tahun lalu secara usaha sama dengan Taharah Global (M) Sdn. Bhd. merupakan campuran ekstrak rumpai laut perang (brown seaweed) dari perairan Semporna, Sabah serta gabungan herba-herba terpilih bagi menambah khasiat dan kelebihannya.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aikayya Global Sdn. Bhd., Shireen yang memulakan perniagaan tersebut dengan modal sendiri berkata, walaupun memegang jawatan yang tertinggi namun oleh kerana syarikatnya baru sahaja hendak bermula maka beliau harus bekerja keras.
''Kebanyakan tugas, daripada bawah hingga ke atas saya lakukan sendiri seperti mempromosikan produk melalui iklan, ekspo, peraduan dan sebagainya.
''Memanglah banyak cabaran kerana saya masih baru dan saya tidak boleh mempunyai sikap malas atau mudah penat. Saya mesti rebut setiap peluang yang ada kerana kalau terlepas, rugi.
''Selain itu, saya juga harus banyak belajar bersabar dengan cakap-cakap orang yang mungkin tidak yakin dengan produk saya dan akan cuba menerangkan dengan cara baik,'' tambahnya yang mendapat sepenuh sokongan daripada suami dan ibu bapa.
Beliau berkata, apa yang dilakukan kini bukanlah kerana ingin mengejar nama atau kerana wang semata-mata tetapi kerana kepuasan diri sendiri namun dalam masa yang sama tidak mengabaikan keluarga.
Justeru itu, pada masa lapang, beliau akan meluangkan masa pergi bercuti bersama keluarga dan melawat tempat-tempat yang memberikan faedah kepada anak-anak seperti melawat muzium.
Mengenai fesyen, Shireen yang banyak terdedah dengan dunia fesyen berkata, beliau menyukai fesyen trendy, semasa dan klasik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: