Wednesday, February 8, 2012

Haseenah kacukan pelbagai budaya


Haseenah bangga dengan kepelbagaian budaya yang diamalkannya.


BERDARAH kacukan Punjabi, Cina dan Siam, dan menguasai lima bahasa, Haseenah Jasmine Jasbir Kaur Kapoor Singh, dianggap wanita unik oleh masyarakat sekelilingnya.

Haseenah Jasmine, 47, boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, Cina, Inggeris, Siam dan Punjabi.

Beliau memeluk Islam sejak 15 tahun lalu ketika mengambil keputusan berkahwin dengan lelaki Melayu, Ahmad Shukri Abdullah.

Haseenah Jasmine yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang lebih berperwatakan dan berpakaian Punjabi. Islam adalah amalan hidupnya tetapi disebabkan dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang mengamalkan gaya hidup pelbagai budaya, beliau selesa menyesuaikan diri dengan sesiapapun.

"Bapa saya Kapoor Singh yang mengamalkan agama Sikh, berasal dari Sultanpur Lodhi, Punjab, India manakala ibu saya Mek Hon@Oui So Pin beragama Buddha, berketurunan darah campuran Siam dan Cina dari Kelantan," katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Haseenah Jasmine berkata, ibu bapanya secara semula jadinya mengamalkan kacukan dua budaya dan agama, tetapi pergaulan seharian mereka dengan jiran tetangga Melayu dan India, mendedahkan mereka kepada budaya dan bahasa tambahan.

"Waktu itu bahasa pertuturan pun bercampur-baur antara Siam, Cina (Hokkien), Melayu dan Punjabi. Bapa saya kekal dengan gaya lelaki Punjabi yang tulen dan ibu pula campuran Cina serta Siam," katanya.

Mengenai penguasaan bahasa Inggerisnya Haseenah Jasmine berkata: "Saya mahir bercakap dalam Bahasa Inggeris atas usaha sendiri. Emak dan ayah memang tidak pandai berbahasa Inggeris.

''Di sekolah saya benar-benar tekun bila di dalam kelas Bahasa Inggeris dan banyak membaca buku Inggeris dengan mengeluarkan suara. Selain itu saya rajin menulis surat kepada rakan pena di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman," katanya.

Pemilik salun rambut di Pekan Gurun sejak 14 tahun lalu, berkata kemahiran berkomunikasi dalam banyak bahasa memberi peluang mudah untuknya memajukan diri dan mengembangkan perniagaan.

Katanya dia seperti mewakili kaum majoriti dan minoriti di Malaysia iaitu Melayu, Cina, Siam dan India.

Hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Sherah Dinah Ganim Ahmad Shukri yang berusia 14 tahun.

"Nama anak saya ini dipilih dengan menggabungkan faktor Siam, Cina, Melayu dan Punjabi.

"Saya merasakan kami sekeluarga antara yang mewakili identiti rakyat Malaysia sebenar," kata Haseenah Jasmine.

Haseenah Jasmine berkata, setiap tahun dia bersama anak dan suami akan meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

"Orang Punjabi juga merayakan Hari Deepavali tetapi tidak juga ketinggalan meraikan perayaan orang Punjabi sendiri, yang dipanggil Vasakhi, iaitu hari menuai gandum yang diraikan sekitar bulan April setiap tahun," katanya yang memiliki diploma dandanan rambut dari Morris MasterClass International di Kuala Lumpur pada 1991.

Selain pakaian Punjabi, beliau dan anak perempuannya turut memakai baju kurung, kebaya atau Cheongsam apabila ada majlis atau kenduri.

Mengenai makanan pula, Heseenah Jasmine pakar dalam menyediakan lauk-pauk yang meliputi masakan pelbagai kaum seperti sup ayam ginseng, sambal petai dan asam pedas.

Capati dan dhal serta sayuran pula ialah makanan ruji baginya tetapi dihidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.

Untuk Hari Raya Aidilfitri, beliau cekap membuat ketupat dan rendang. Haseenah Jasmine berkata, suami dan keluarga mentua adalah tempat rujukan utamanya sekiranya ada kemusykilan dalam soal Islam di samping membaca pelbagai buku dan kitab serta menonton rancangan agama di televisyen.

Haseenah Jasmine berkata, beliau akan memastikan anak perempuannya turut mengikut jejak langkahnya mengamalkan pelbagai budaya tetapi berpaksikan Islam.

Katanya, anak hasil daripada perkahwinan campur lebih bersifat terbuka dalam konteks budaya dan pergaulan.

Disebabkan itu anaknya juga boleh bertutur dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Melayu, Mandarin dan Hokkien serta Bahasa Inggeris.

Sherah juga kini dalam proses mempelajari bahasa Korea dan bertekad untuk menguasai bahasa Siam dan Punjabi selepas itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: