Monday, February 6, 2012

Saya bukan ustaz


DICEMUH orang ramai kerana corak pengacaraannya yang agak kasar dianggap biasa oleh Wan Kamarudin.


LAPAN tahun sudah berlalu tetapi ramai yang mengingati kata-kata: “Apa kejadahnya ini semua. Mak bapak duduk rumah goyang kaki, tapi anak-anak keluar berpeleseran.”

Dengan wajah serius disulami bahasa-bahasa pasar yang agak keras, Wan Kamarudin Wan Ibrahim pernah mencetuskan fenomena dalam bidang pengacaraan.

Kata-katanya yang dianggap bersifat kurang ajar oleh sesetengah orang itu sekurang-kurangnya membuka mata banyak pihak untuk sedar tentang masalah sosial yang dikupasnya.

Ramai yang tersentuh, tidak kurang juga yang tersentak apabila Wan Kamarudin mengangkat isu buang anak sehinggalah gejala mat rempit dengan caranya yang tersendiri itu.

Melalui masalah yang dibincangkan di saluran televisyen ntv7 itu, nama Wan Kamarudin pantas melonjak. Dia mendapat sokongan, bahkan tidak kurang juga ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Saya akui yang saya memang agak takut ketika berada dalam masyarakat semasa mengacara rancangan itu tetapi saya percaya bahawa ia adalah tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Apatah lagi ingin melihat masyarakat yang damai adalah minat saya sejak kecil lagi. Saya suka membantu orang,” katanya kepada Jurnal.

Mengacarakan rancangan tersebut pasti memberi kesan terutamanya kepada keselamatan Wan Kamarudin. Dia mengaku bahawa terdapat cemuhan namun perkara itu tidak melemahkan semangatnya.

Masih segar dalam ingatan lelaki itu apabila dia didekati oleh seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai 24 jam beberapa tahun lalu.

Dengan pantas ibu kanak-kanak itu menarik tangan anaknya apabila dia menyedari Wan Kamarudin adalah pengacara rancangan Edisi Siasat yang popular sekitar 2002 hingga 2004 itu.

“Wanita itu seolah-olah menganggap saya seperti menyumbang sesuatu yang tidak baik kepada anaknya,” tuturnya saat ditemui di Pusat Penyiaran TV AlHijrah baru-baru ini.

Tidak hanya dicemuh bahkan menerima e-mel layang yang mengganggu ketenteramannya, Wan Kamarudin tidak menyangka bahawa ada mat rempit menghormati caranya itu.

Suatu ketika dahulu, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk pulang ke rumah, sekumpulan mat rempit tiba-tiba muncul.

Pada mulanya kumpulan anak muda itu tidak menyedari bahawa kereta yang berada di sebelah mereka itu dipandu oleh Wan Kamarudin, orang yang banyak mencemuh kumpulan mat rempit.

Banduan

“Saya memang kecut perut. Dalam hati saya berdoa agar mereka tidak perasan bahawa itu adalah saya.

“Tetapi tiba-tiba salah seorang daripada mereka merenung saya dan dapat mengecam siapa saya. Mujurlah remaja yang perasan itu sekadar melambaikan tangan ke arah saya dan berlalu pergi,” ujar pemegang ijazah dalam bidang perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Selain Edisi Siasat, anak kelahiran Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu itu pernah mengacarakan dan menjadi wartawan dalam rancangan berkonsep sama seperti Bongkar, Talian Hayat dan Diari Pasung.

Mengimbas kenangan ketika menjadi penyampai rancangan Diari Pasung untuk siaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2006, Wan Kamarudin menjelajah ke segenap penjara di seluruh negara.

Rancangan itu memerlukan Wan Kamarudin tinggal bersama banduan untuk menyelami kehidupan mereka di sana.

“Pada setiap episod saya perlu tinggal dan merasai sendiri pengalaman tinggal bersama mereka selama beberapa hari.

“Suasana di dalam penjara memang mengerikan. Persekitarannya kusam dan berbau busuk. Banduan di situ nampak sahaja garang dan ganas tetapi mereka tetap mesra.

“Salah seorang banduan yang berbadan besar sempat bergurau dengan saya kerana dia kenal saya melalui rancangan itu,” cerita anak ketujuh daripada 10 beradik itu.

Daripada gejala sosial, masalah masyarakat dan menyelami perasaan insan terpinggir, Wan Kamarudin kali ini tampil dengan sebuah rancangan bersifat kemasyarakatan dan keislaman di saluran TV AlHijrah.

Menjadi pengacara rancangan Khidmat Syariah membuka peluang kepada Wan Kamarudin menjadi ejen hubungan antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam hal ehwal berkaitan Islam.

Mengaku dia tidak begitu tinggi ilmu dalam bidang keagamaan namun menjadi hos dan wartawan dalam rancangan itu menuntut Wan Kamarudin mendalami bidang berkaitan.

“Saya bukan ustaz. Tetapi saya menjadi seorang ejen yang mendengar masalah dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat daripada pihak berkaitan.

“Contohnya terdapat beberapa episod yang berkaitan hal rumah tangga, cara pembahagian harta dalam Islam dan kesalahan dalam percetakan al-Quran,” katanya lagi.

Rancangan Khidmat Syariah disiarkan pada setiap hari Jumaat pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: