|
KASUT bukan lagi bertindak sebagai pelindung kaki sahaja buat kaum Adam. Malah, ia kini turut menjadi lambang gaya dan aksesori paling penting buat mereka.
Mungkin wanita lebih intim dengan pembelian kasut yang pelbagai. Lihat saja di setiap tempat yang menjadi kelaziman seorang wanita seperti kereta, bilik, pejabat dan dapur menjadi ‘stor’ rasmi bagi mereka menyimpan kasut.
Lelaki pada dasarnya disifatkan kurang boros dalam membeli sepatu kerana mereka lebih bijak berbelanja. Ada yang berpendapat bahawa kaum lelaki kurang bijak bergaya, manakala ada pula yang melihat ciri kepelbagaian kasut untuk si jejaka yang terhad menyebabkan golongan itu tidak gemar berbelanja untuk sepasang kasut.
Tetapi hari ini, kewujudan variasi rekaan kasut lelaki di pasaran telah menghadirkan gelombang baharu dalam pemikiran jejaka. Kasut seakan-akan menjadi identiti rasmi lelaki dan mereka mula kerap membeli kasut.
Peka dengan perkembangan itu, pengedar kasut buatan tangan di Malaysia, Distro Kuala Lumpur (DistroKL) membawa seleksi sepatu jejaka buatan tangan label Ailo bagi memenuhi permintaan tersebut.
Selepas melalui beberapa perbincangan dengan pengeluar kasut jenama itu di Bandung, Indonesia, DistroKL diberi lampu hijau menjadi pengedar rasmi kasut-kasut itu di negara ini.
Walaupun pengedaran kasut-kasut itu di Bandung sendiri belum begitu meluas lantaran operasi yang berskala sederhana, penerimaan masyarakat di sana terhadap kasut buatan tangan cukup mengagumkan Hafiz.
Kasut lelaki menjadi fokus utama pengedar. Sehingga kini, lebih 10 rekaan kasut di bawah jenama Ailo berjaya dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan.
“Selaku pembekal di Malaysia, kami cuba mengubah pemikiran orang ramai yang cenderung membeli kasut yang berjenama sahaja.
![]() |
| LELAKI zaman ini sudah mula berani menggayakan pelbagai jenis rekaan kasut sebegai pelangkap gaya harian. |
“Koleksi kasut yang kami pasarkan memang bukan jenama terkenal tetapi, kualiti dan ketahanannya amat tinggi, kerana ia 100 peratus dihasilkan menggunakan tangan,” jelas Mohd. Hafiz Ismail, 26, yang merupakan salah seorang pengasas DistroKL.
Kepelbagaian material yang digunakan seperti kanvas, kulit sintetik, suede (seakan-akan baldu) dan kulit asli menjadi asas kepada tarikan kualiti yang dipersembahkan sepatu jejaka di bawah payung jenama DistroKL.
Nilai eksklusif
Seorang lagi rakan kongsi DistroKL, Aryna Samsudin, 29, menjelaskan bahawa nilai eksklusif kasut yang dipasarkan amat dijaga demi memberi impak individualiti kepada setiap pembeli.
“Setiap jenis kasut yang kita tawarkan kepada pelanggan terhad untuk 20 pasang sahaja. Lebih istimewa, setiap pelanggan boleh memilih warna dan material yang berkenan di hati mereka.
“Memandangkan kami menjalankan perniagaan dalam talian, pelanggan yang berminat boleh menempah terlebih dahulu di laman sosial Facebook rasmi kami dan kemudian kami akan e-mel borang tempahan kepada mereka.
“Selepas itu, mereka akan memberi semua butiran diri termasuk saiz kaki dan spesifikasi kasut yang mereka inginkan,” ujar Aryna yang juga memberitahu penghasilan kasut dibuat mengikut tempahan pelanggan sahaja.
Meletakkan sasaran umur buat lelaki 25 tahun ke atas, kualiti kasut yang ditawarkan diakui terjamin. Bengkel pembuatannya hanya mengehadkan penghasilan lima pasang kasut oleh seorang tukang kasut dalam sehari.
Seleksi warna juga pelbagai dan pelanggan bebas memilih warna yang digemari mereka serta menggabungkan kombinasi warna untuk kasut yang direka dengan tiga rona.
Terkini, 10 rekaan kasut lelaki yang sering mendapat perhatian pelanggan ialah Ibiza, Munchies, Boatshoes, Plim Oxford, Rubdub, Moosecar, Velvet, Callum, Saddle Imen dan Saddle Suede.

Untuk gaya kasual dan bersifat santai, jejaka digalakkan memilih Boatshoes yang menggunakan material suede, kanvas dan kulit sintetik. Ia direka dengan tiga warna yang boleh dipilih sendiri oleh pelanggan.
Bagi mereka yang mahukan sepasang kasut yang boleh dipakai ke acara formal ataupun kasual, maka Moosecar Brogue wajar menjadi pendamping gaya mereka.
Kasut bertali dengan tebukan lubang-lubang halus selaku penyeri itu diperbuat daripada kulit asli dan amat sesuai buat jejaka usia pertengahan kerana ia mampu menimbulkan elemen ranggi.
Remaja pula sesuai menggayakan Moosecar Khaki yang menggunakan material suede. Ia padan digayakan dengan jean potongan sendat atau skinny, dengan syarat stoking yang dipakai tidak boleh kelihatan.
Gaya atlet
Rudie Ramli, 30, pemain bola sepak sepenuh masa untuk pasukan Selangor PKNS juga merupakan antara empat individu yang terlibat dalam penubuhan DistroKL.
Meskipun telah bergelar bapa kepada dua orang anak, beliau masih belum boleh melupakan penampilan bergaya dan ‘kegilaannya’ terhadap kasut. Sebagai atlet, Rudie bijak memasarkan sepatu DistroKL kepada kawan-kawannya yang lain.
“Kalau di Malaysia ini memang atlet-atlet kita jarang bergaya untuk ke sesi latihan. Mungkin saya tidak berfesyen daripada segi pakaian, tetapi saya cuba tonjolkan gaya pada kasut yang saya pakai.
“Contohnya kasut jenis Munchies yang saya pakai memang tampak seakan-akan rekaan antarabangsa. Tidak keterlaluan dikatakan kualitinya setaraf dengan jenama-jenama terkemuka,” ceritanya.
Memandangkan masih mentah dalam pasaran Malaysia, DistroKL melantik setiap ahli mereka sebagai subjek utama bagi menggerakkan promosi sepatu-sepatu tersebut.
Ahmad Nazrul Mohamad Isa, 26, mungkin masih lagi memegang gelaran pelajar di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) tetapi, pada masa yang sama beliau turut berkongsi nama dalam pemasaran DistroKL.
![]() |
| DARI KIRI: Hafiz, Aryna dan Nazrul serta Rudie (depan) giat mempromosi keistimewaan sepatu DistroKL dalam pasaran tempatan. |
“Kasut semakin dihargai golongan lelaki. Jika dahulu, lelaki beli sepasang kasut sahaja dan dipakai untuk tempoh yang lama, sekarang mereka akan membeli kasut pelbagai jenis untuk dijadikan koleksi.
“Macam saya sendiri, saya sering bertukar-tukar jenis kasut untuk ke kelas. Itu merupakan salah satu langkah bagi memperkenalkan DistroKL kepada orang ramai dan setakat ini sambutan semakin meningkat.
“Setiap jenis kasut yang telah menerima tempahan maksimum 20 pasang tidak akan dikeluarkan lagi. Kami akan sentiasa tampil dengan rekaan baharu agar selari dengan trend semasa,” ujarnya.
Kasut-kasut buat jejaka dijual pada harga RM153 hingga RM267 dan untuk pengetahuan semua, kasut bernilai RM200 ke atas lebih tinggi nilai eksklusifnya kerana hanya lima hingga enam tempahan sahaja akan diterima.
Selain kasut lelaki, kasut untuk wanita di bawah jenama Shoelution dan kasut kanak-kanak juga bakal menemui orang ramai tidak lama lagi.
Untuk mengikuti perkembangan kasut yang dipasarkan DistroKL atau membuat tempahan kasut, orang ramai perlu mengunjungi laman sosial Facebook DistroKL yang menggunakan nama Distro Kuala Lumpur.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: