Monday, February 6, 2012

Lampin kain tahan tiga tahun


LAMPIN kain lebih mesra alam sekitar berbanding lampin pakai buang.


PERKENALAN semasa menuntut dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Melaka membawa Siti Nur Suraya Mohamed Ali, 30, dan Mohd. Nor Shazwan Shaharuddin, 30, ke gerbang perkahwinan pada tahun 2005.

Mungkin sudah ditentukan mereka akan melakukan banyak perkara secara bersama. Selepas tamat pengajian, mereka bekerja di sebuah syarikat yang sama di Cheras, Kuala Lumpur.

Kemudian, mereka sama-sama membina syarikat Luna Solutions dan Luna Online, iaitu perniagaan menjual produk lampin kain moden, cecair pencuci lampin dan pakaian bayi.

“Kami belajar di kelas yang sama, makan bersama dan mengulang kaji pelajaran bersama, cuma tinggal di rumah yang berbeza kerana belum berkahwin,” ujar Suraya sambil ketawa.

Semasa bekerja di syarikat percetakan yang sama suatu ketika dahulu Suraya memberitahu, mereka akan makan bersama di kantin pada waktu rehat.

“Ramai yang mengatakan pasangan bercinta sebaik-baiknya bekerja di tempat yang berlainan tetapi kami sebaliknya,” ujarnya.

Lunatots

Bercerita mengenai kedainya yang dinamakan Lunatots, kata Suraya ‘Luna’ bermaksud bulan penuh atau kalendar Luna. ‘Tots’ pula berasal daripada perkataan thought yang bermaksud fikir atau anggap.

Jelas beliau, semuanya bermula dengan beliau menjual produk keperluan bayi seperti botol susu, kain penggendong dan permainan bayi melalui laman web dan juga di rumah pelanggan.

“Lama-kelamaan ia berkembang sehingga saya membuka butik sendiri. Sebenarnya, banyak kisah menarik apabila kita bercakap dengan ibu-ibu ini terutamanya mereka yang baru bersalin.

“Saya kadang-kadang terpaksa duduk berjam-jam di rumah pelanggan semata-mata untuk mendengar cerita mengenai bayi mereka,” katanya.

Suraya pula bijak dalam menghasilkan produk bayi yang berbeza dan praktikal.

Malah, lampin kain moden yang beliau perkenalkan mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, dahulu kain lampin digunakan secara meluas oleh ibu-ibu di Malaysia tetapi selepas lampin pakai buang hebat dipromosikan, lampin kain semakin jarang digunakan.

“Sebenarnya lampin pakai buang mengambil masa selama 500 tahun untuk mereput. Ia merupakan sampah ketiga terbesar di dunia walaupun hanya lima peratus penduduk bumi yang menggunakannya.

“Disebabkan isu alam sekitar berkenaan, penduduk Eropah kini mula beralih kepada lampin kain.

Ia juga praktikal dari sudut harga selain boleh merapatkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak.

Lampin kain

Suraya memberikan contoh, satu lampin pakai buang berharga RM1 perlu digunakan oleh seorang bayi sebanyak enam keping sehari.

Jika didarab dengan 365 hari, nilainya mencecah RM2,190. Kalau didarab dengan tempoh tiga tahun pula, jumlahnya RM6,570.

“Namun, dengan 12 helai lampin kain kosnya sekitar RM500 sahaja dan ia boleh dipakai selama tiga tahun.

“Ia juga mudah dibasuh dan senang disesuaikan dengan saiz punggung bayi,” katanya.

Walaupun kelihatan agak menyusahkan, lampin kain ada banyak kegunaan lain.

“Kita boleh mengesan apa yang anak kita makan di rumah pengasuh. Tahap kesihatan bayi juga dapat dipantau dengan melihat najisnya pada kain tersebut.

“Pada masa yang sama, ia juga mengajar anak kita supaya lebih cepat belajar ke tandas untuk membuang air,” kata Suraya yang sering dijadikan rujukan mengenai hal berkaitan bayi.

Bagi suaminya, Shazwan, sebagai seorang lelaki beliau tidak segan menggunakan kain penggendong bayi untuk membawa ketiga-tiga anaknya.

“Malah, kita menjadi lebih rapat dengan mereka dengan masa yang lebih berkualiti. Seronok juga membawa mereka pergi bersiar-siar.

“Bersentuhan secara terus dengan anak-anak dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang lebih bernilai daripada wang ringgit dan kemewahan material,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: