Pentas Pilih Kasih 3 (PK3) sudah pun membuka tirainya Ahad lalu yang menyaksikan 16 peserta mengetengahkan bakat lakonan mereka buat pertama kalinya.
Biarpun masih ada yang kelihatan ‘kayu’, itu adalah adat buat pelakon baru yang masih hijau tentang dunia lakonan.
Kesemua artis PK3 bagaimanapun boleh diibaratkan bertuah kerana penerbitnya yang juga pelakon terkenal, Rosyam Nor telah mengumumkan bahawa tiada penyingkiran sehingga minggu kedua.
Ini bermakna, masih ada ruang untuk mereka memperbaiki teknik lakonan dengan tenaga pengajar yang berpengalaman iaitu Eirma Fatima dan Hamzah Tahir.
Memandangkan saingan sangat sengit, tentunya setiap peserta mahu memberikan yang terbaik dan bersemangat untuk menjulang gelaran juara bagi musim terakhir program realiti popular ini.
Mari kita ikuti kisah dua orang artis PK3 iaitu Reen Rahim dan Airil Reffa tentang harapan mereka di PK3.
Reen mahu jadi heroin
Melihatkan wajahnya yang cantik manis sudah cukup membuatkan banyak mata terpesona. Dari segi fizikal, Reen sememangnya mempunyai pakej lengkap untuk bergelar heroin.
Sememangnya pemilik nama asal Noreen Ashikin Rahim ini mempunyai keinginan ke arah itu sejak dirinya terpilih sebagai salah seorang peserta PK3.
“Dapat melepasi uji bakat sudah menjadi pencapaian terbaik buat saya, maka saya perlu bekerja keras dan menggunakan peluang di PK3 sebaik-baiknya.
“Matlamat saya adalah mahu mengasah bakat lakonan dalam diri saya sejauh mungkin dan seterusnya bergelar pelakon berkaliber,” katanya yang tidak mahu hanya bersandar pada rupa.
Bagi mencapai tujuannya itu, gadis berasal dari Klang, Selangor ini sanggup menunggu sehingga dirinya betul-betul bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum menjalani uji bakat.
“Sebenarnya dari kecil lagi saya memang minat untuk berlakon, tetapi tiada keyakinan. Demi minat terhadap lakonan, saya cuba atasi perasaan itu,
“Hingga kini masih ada rasa gugup. Tetapi melalui kelas yang dikendalikan tenaga pengajar, sedikit demi sedikit saya belajar membina keyakinan diri,” katanya.
Wajah Melayu asli kelebihan Airil
Tatkala ditanya pengalaman dalam bidang lakonan, jejaka kelahiran Pulau Pinang ini tanpa berselindung mengakui ilmunya lakonannya kosong.
Cuma berbekalkan dorongan teman-teman dan perasaan ingin mencuba, Airil atau nama sebenarnya, Mohd Ariffadillah Ramli nekad mencuba nasib di PK3.
“Ada dalam kalangan rakan menyatakan saya memiliki wajah Melayu asli seperti dimiliki Allahyarham Nordin Ahmad dan Remy Ishak.
“Dengan kelebihan ini, saya rasa tidak salah mencuba dan ternyata pertaruhan saya tidak sia-sia apabila terpilih sebagai peserta PK3,” katanya.
Semakin menyukai bidang ini, menurut Airil, dia percaya bakat berlakon boleh dicungkil dan dipelajari daripada tenaga pengajar.
“Saya yakin telah membuat keputusan yang tepat apabila menyertai PK3 dan akan menggunakan platform ini untuk memajukan diri.
“Alang-alang sudah terpilih, saya mengimpikan untuk memenangi gelaran pelakon terbaik dalam PK3,” katanya yang menjadikan Erma Fatima dan Umie Aida sebagai idola.
Thursday, February 9, 2012
Reen, Airil impi gelaran pelakon hebat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: