Thursday, February 9, 2012

Chantek buka peluang Nurul



SEORANG pengarah yang bijak, dia perlu mengambil pengarah fotografi (DOP) dan pelakon yang bagus. Justeru, apabila digabungkan kedua-dua elemen itu bersama skrip yang bagus, ia akan memudahkan kerja anda sebagai seorang pengarah.

Itulah kata-kata pengarah terkenal Bollywood, Karan Johar yang dipegang oleh pengarah muda, Pierre Andre dalam menghasilkan filem.

Menurut empunya nama Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre ini, menjadi pengarah dan membikin filem bukanlah perkara sukar.

Apa yang penting adalah bagaimana ingin memberi pemahaman kepada kru dan kumpulan produksi supaya faham dengan apa yang diinginkan agar apa yang perlu diingini dapat dilaksanakan dengan mudah.

Filem genre romantik komedi, Chantek merupakan filem terbaru arahan Pierre selepas kali terakhir dia muncul dengan buah tangan arahannya yang berjudul al-Hijab dari genre seram. Apa yang istimewa, Chantek menampilkan aktres dari Indonesia, Nurul Ekasari sebagai heroin di samping Pierre sebagai heronya.

"Dalam filem Chantek, saya memang mahukan wanita Indonesia untuk bawa watak ini. Bukannya saya tidak boleh mengambil pelakon Malaysia untuk bawakan watak orang Indonesia tapi, untuk kita menjiwai sebagai orang Indonesia harus mengambil masa yang lama.

"Akhirnya saya terpaksa ambil satu keputusan yang Nurul merupakan watak yang paling sesuai dan terbaik untuk watak Chantek. Dia juga berjaya menyempurnakan peranannya dan saya gembira Nurul ada di sini," ujarnya yang memilih berdasarkan kesesuaian watak Chantek itu sendiri.

Akui Pierre, jika di Malaysia dia pening kepala untuk mencari pelakon yang bagus untuk watak Chantek, namun di Indonesia pula, dirinya pening memilih kerana semua yang hadir ke uji bakat sangat berbakat.

Menurut Pierre lagi, apa yang dilihatnya ketika membuat sesi uji bakat di Jakarta selama tiga hari tersebut ialah disebabkan populasi rakyat yang ramai, pelakon yang hadir ke uji bakat harus menjadi yang terbaik disebabkan persaingan yang ada.

"Mengikut pengalaman saya, di Malaysia, bila saya buka sesi uji bakat yang hadir kebanyakannya tidak bersedia. Hadir dengan tangan kosong dan ada antaranya hanya ingin mencuba nasib semata-mata.




"Tapi, di Indonesia, mereka hadir dengan sangat bersedia. Raut wajah mereka yang telah disolek, lakonan serta semua persediaan dibuat untuk membuktikan merekalah orang yang layak untuk memegang watak tersebut.

"Jika di Malaysia, ingin lihat pelakon terkenal hadir memang jarang. Di sana, mereka tidak segan untuk menghadiri uji bakat walau sudah ada nama," cerita Pierre yang agak terkejut dengan bilangan kehadiran individu yang datang uji bakat untuk watak Chantek di Indonesia mencecah 700 orang.

Lambakan pelakon baharu

Berbekalkan pengalaman diri dalam bidang lakonan dan pengarahan, Pierre tidak menyembunyikan pendapat peribadinya dengan menegaskan bahawa sesi uji bakat adalah sangat perlu untuk menentukan kesesuaian pelakon dan watak yang dilakonkan.

Secara tidak langsung, Pierre mengakui yang sebahagian artis tempatan juga ada yang hadir ke sesi ujibakat dengan tidak membuat sebarang persediaan.

"Jika mahu memberi pendapat, kita di sini tiada sistem kerana kita hanya main langgar sahaja. Ini kerana, jika kerana mereka sudah terkenal mereka jarang mempedulikan tentang uji bakat. Uji bakat sebenarnya bukan bermaksud mahu tengok anda bagus atau tidak.

"Tapi itu sebenarnya adalah satu proses yang ingin melihat sama ada mereka sesuai atau tidak bagi watak yang ingin ditawarkan itu. Walaupun pelakon itu sangat bagus, namun tidak sesuai dengan watak, maka mereka tidak akan dipilih jua," tambah anak kepada aktres veteran, Khatijah Tan ini.

Bagi Pierre, dirinya memang masih baru di dalam industri hiburan tempatan. Jadi dia harus punya sistem dan juga merasakan dirinya kini sangat cerewet untuk memilih.


PIERRE dan Nurul Ekasari bersama barisan karyawan filem Chantek.


Selain itu juga, Pierre ingin melambakkan bilangan pelakon di Malaysia supaya punya banyak pilihan kelak dengan memberi peluang kepada pelakon-pelakon baharu di dalam industri.

Dalam itu menurut Nurul Ekasari pula, sebagai seorang warga Indonesia, sememangnya watak Chantek tidak terlalu berat bagi diri. Namun, apa yang mencabar dirinya sebagai pelakon baharu adalah untuk meniru suara lelaki untuk beberapa babak Chantek.

"Saya juga masih baru dalam industri hiburan di Indonesia. Memang mungkin watak ini tidak terlalu mencabar tapi untuk mengumpul pengalaman baharu, kita tidak boleh terlalu memililh," jelas Nurul yang baru punya dua tahun pengalaman berlakon.

Sebenarnya, Nurul mula melangkah menjadi pelakon setahun selepas tamat pengajiannya di universiti. Pemegang Sarjana Komunikasi Utama dalam Penyiaran ini melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan dengan membintangi sinetron KTP2 selain dua buah filem iaitu Bait Surau dan Soulquest serta empat buah telemovie.

Namun, Nurul menganggap Chantek adalah peluang keemasan buat dirinya untuk memperkenalkan bakat dirinya di Malaysia.

"Saya gembira kerana daripada ramai yang datang uji bakat bagi watak Chantek, saya yang terpilih. Walaupun saya orang baru dalam dunia lakonan, saya bersyukur kerana bakat saya dapat dilihat oleh produksi luar Indonesia. Ini satu peluang untuk saya memasarkan diri saya di Malaysia dan saya berharap dapat diterima ramai," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: