Thursday, February 9, 2012

Eksport produk halal RM30b


MIHAS 2012 dijangka mencatat jualan RM500 juta menyamai statistik pada tahun sebelumnya.


KUALA LUMPUR - Nilai eksport bagi produk halal dijangka mencecah RM33 bilion pada tahun 2012, kira-kira enam peratus daripada nilai eksport keseluruhan negara, kata Naib Presiden Operasi Halal Industry Developement Corporation Sdn. Bhd. (HDC), Mohd. Raimee Tamin.

Menurut beliau, nilai eksport bagi produk halal pada tahun lalu dianggarkan berjumlah RM30 bilion.

"Kami menyasarkan pertumbuhan eksport barangan halal sebanyak 10 peratus bagi tahun ini, ia berdasarkan kepada maklumat daripada sistem data bagi industri halal yang dimulakan pada tahun 2011 selain usaha HDC memupuk syarikat tempatan untuk mengeluarkan produk halal bagi tujuan eksport," katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Minggu Halal Malaysia 2012 di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dr. Wong Lai Sum dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.

Minggu Halal Malaysia 2012 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 hingga 7 April depan dengan pelbagai acara untuk mempromosikan industri halal seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), Forum Penyelidikan Halal Sedunia (WHR) dan Forum Halal Sedunia 2010 (WHF).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: