Wednesday, February 22, 2012

Pilihan ikut bajet


Izuddin Karso (depan tengah) bersama kakitangan yang menjadi tulang belakang kejayaan Precious Moments Collection.


Ukur baju di badan sendiri, nasihat Izzuddin Karso kepada bakal pasangan yang akan menamatkan zaman bujang mereka dalam masa terdekat ini.

Pengasas dan pemilik syarikat perunding perkahwinan, Precious Moment Collection ini, memahami bahawa setiap bakal pengantin mengharapkan majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan lancar dan penuh gilang-gemilang.

“Memang semua orang inginkan majlis persandingan mereka berjalan lancar dan meriah. Tetapi mereka kena fikir dahulu berapa bajet yang mereka ada dan perlu bersesuaian dengan majlis.

“Bukan bermakna jika bajet kurang, majlis dan persediaan yang dibuat tidak cantik. Semua boleh direalisasikan dengan berbincang bersama perunding perkahwinan yang sememangnya lebih arif,” katanya.

Selalunya kata Izzudin, apabila pasangan pengantin datang berjumpa untuk mendapatkan khidmatnya, perkara pertama yang mereka lakukan ialah memberitahu bajet yang ada dan impian perkahwinan mereka.

“Ini akan memudahkan kami merancang dan melakar konsep yang diinginkan bersesuaian dengan bajet yang ada.

“Selalunya konsep ini sama ada perkahwinan tradisional, ataupun moden di samping tema warna yang diingini. Pasangan akan diberikan nasihat dahulu sebelum sebut harga dibuat.

“Selain itu, pemilihan warna pakaian dan pelamin penting bagi pasangan ketika majlis perkahwinan berlangsung.

“Contohnya jika pasangan memilih konsep tradisional, warna yang sesuai adalah warna garang dan terang.

“Selepas itu, warna pelamin perlu disesuaikan mengikut gabungan kumpulan warna baju.

“Misalnya warna merah mungkin tidak sesuai dipakai jika pengantin mempunyai warna kulit yang agak gelap dan sebagainya,” katanya.

Izzudin memberitahu, pasangan tidak perlu bimbang mengenai reka bentuk pelamin dan rekaan persalinan.

Ini kerana pihak Precious Moment Collection akan mencadangkan kepada mereka bentuk dan warna yang sesuai untuk majlis persandingan nanti.

“Pelamin juga akan dibuat berdasarkan keluasan tempat sama ada majlis diadakan di dewan ataupun di ruang tamu rumah,” katanya.

Tambahnya, istimewanya pelamin rekaan beliau adalah menggunakan 100 peratus bunga segar atau hidup.

Bunga-bunga segar yang digunakan memberi gambaran kesegaran kepada pengantin yang sedang melangsungkan majlis perkahwinan dan langkah permulaan kehidupan baru mereka.

“Warna bunga mengikut pilihan pelanggan dan saya akan sesuaikan warna bunga dengan warna baju.

“Penggunaan bunga juga disediakan bergantung kepada permintaan daripada pengantin,” katanya yang banyak menggunakan bunga-bunga dari Cameron Highland dan luar negara kerana lebih cantik dan besar.

Berpengalaman lebih 11 tahun dengan beroperasi di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor, Izzudin bagaikan sudah masak dengan kerenah dan ragam pasangan bakal pengantin.

Dia tidak menafikan kadang kala akan timbul masalah ketika proses perundingan terutama mengenai bajet yang disediakan.

“Tetapi semua itu dapat diselesaikan dan tidak timbul rasa tidak puas hati di kalangan pelanggan,” katanya.

Dia turut menasihati bakal pengantin supaya berhati-hati memilih pakar perunding perkahwinan berikutan banyak kes penipuan sebelum ini.

Sebagai pakar perunding perkahwinan, Izzuddin menyediakan keperluan yang lengkap bagi sebuah majlis perkahwinan seperti pelamin, hiasan, sajian makanan atau katering, khemah, hantaran, bunga telur, cenderahati, gambar dan video, kad jemputan dan sebagainya.

Izzuddin juga merupakan penaja pelamin dan hiasan untuk Peraduan Gerbang Cinta Mega - Utusan Malaysia dari musim1 hingga 3.

Precious Moments Collection boleh dihubungi melalui talian 012-3101950.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: