BEBERAPA minggu lalu saya ke Medan, Indonesia menghadiri bengkel bersama rakan-rakan dari Persatuan kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ramai yang bertanya kenapa kami memilih Medan. Jawapannya kerana kosnya yang rendah dan penerbangan ke Medan hanya memakan masa 55 minit.
Sama juga jika saya berbengkel di Pulau Pinang atau Langkawi sedangkan harga penginapan dan makan jauh lebih mahal daripada kedua-dua lokasi di Malaysia itu.
Bagaimanapun, ada suara sumbang yang berkata: "Jangan pergi menikah seorang lagi di Medan." Saya terus menjawab: "Issh, pergi berbengkel bukan pergi berkahwin!"
Rupanya Medan adalah satu destinasi menarik untuk bernikah dan berbulan madu. Kebanyakan yang berkahwin di Medan kerana berpoligami.
Selama ini, saya beranggapan Thailand adalah destinasi pilihan bernikah terutama bagi pasangan yang ingin berpoligami. Menurut seorang rakan, bukan saja Thailand, Medan dan Mekah juga destinasi pilihan pasangan hari ini.
Kenapa harus 'melarikan' diri hingga ke Thailand atau Medan untuk bernikah kali kedua atau ketiga? Adakah undang-undang poligami di Malaysia terlalu kekat sehinggakan seorang lelaki yang telah berkahwin tidak mungkin boleh berpoligami kerana tidak dibenarkan oleh mahkamah?
Apakah status perkahwinan di Thailand atau Indonesia atau di mana saja?
Poligami bukan perkara baru namun ia sering menjadi isu paling kontroversi di Malaysia. Entah di mana silapnya, poligami bagai tidak boleh dibincangkan.
Kata orang bercakap mengenai poligami seperti "ditelan mati emak, dibuang mati bapak" dan kebiasaannya, wanita adalah mangsa utamanya. Kebanyakan kaum wanita amat terganggu bila isu poligami disebut.
Poligami bermakna perkahwinan yang melibatkan lebih daripada seorang isteri atau suami dan perkataan poligami berkait rapat dengan perkataan polyandry yang bermaksud wanita yang mempunyai suami yang lebih daripada satu.
Perkataan yang lebih sesuai ialah poligini namun telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Malaysia menyebutnya sebagai poligami.
Islam membenarkan poligami berasaskan nas al-Quran dalam surah al-Nisa' ayat 3.
Kita juga diingatkan oleh hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Mana-mana di kalangan kamu yang mempunyai dua orang isteri dan dia melebihi salah seorang dari mereka, dia akan datang dengan badannya separuh lumpuh pada hari pengadilan nanti." (al Shawkawi)
Kedua-dua nas ini menunjukkan bahawa lelaki Islam dibenarkan berkahwin lebih daripada satu sehingga empat namun dia perlu berlaku adil. Jika tidak adil dia akan menanggung dosa sehinggakan di hari pengadilan dia akan berjalan lumpuh sebelah.
Sebenarnya ramai lelaki melihat poligami sebagai hak mutlak namun tidak ramai yang memahami ibadah di sebalik poligami.
Seperti yang diterangkan sebelum ini perkahwinan adalah ibadah dan ia mesti dilakukan mengikut hukum dan memenuhi syarat.
Apabila kerajaan melalui enakmen keluarga Islam membuat peruntukan mengenai poligami, ramai yang menganggapnya sebagai cara mengawal poligami atau usaha mengharamkannya.
Timbul suara-suara sumbang menuduh kerajaan cuba mengharamkan yang halal. Tidak cukup dengan tohmahan tersebut, ada kumpulan yang mengatakan bahawa peruntukan tersebut 'seperti melepas batuk di tangga.'
Sebabnya, lelaki masih dibenarkan berpoligami dan peruntukan tersebut tidak menakutkan atau menghalang lelaki dari berkahwin lebih daripada satu. Kedua-dua pandangan ini adalah ekstrem dan salah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: