Saturday, February 4, 2012

Asam pedas Melaka pilihan pelanggan


ZAINAP Abd. Rahman di hadapan kedai makan Rindu Klasik di Seksyen 23, Shah Alam yang dibuka beberapa bulan lalu.


KEDAI makan Rindu Klasik mungkin masih asing bagi penduduk di sekitar kawasan Seksyen 23, Shah Alam, Selangor kerana ia baru dibuka pada September tahun lalu.

Namun wajah pemilik kedai makan yang menyediakan pelbagai masakan kampung 'ala' Melaka termasuk asam pedas memang begitu dikenali di sekitar bandar raya Anggerik ini.

Apa tidaknya, sebelum membuka kedai makan Rindu Klasik, Zainap Abd. Rahman, 54, atau terkenal dengan gelaran 'Makcik Garang' atau 'Kakak Rock' oleh para pelanggan setianya telah menjalankan perniagaan gerai makan di tingkat empat Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1987.

Berkat usaha bersama suami, Normadi Arvaruddin, 54, yang pernah menjadi chef di Hotel Tanjung Jara Beach Resort, Terengganu dan bantuan adik-beradik, akhirnya cita-cita mempunyai kedai makan yang lebih selesa dengan nama Rindu Klasik berjaya direalisasikan.

Zainap juga bertuah kerana pelanggan setianya sejak 25 tahun lalu di Kompleks PKNS masih mencarinya hingga ke kedai makan Rindu Klasik kerana masakan asam pedas istimewanya.

Bagi memudahkan pelanggan mengenali kedai makannya, Zainap memaparkan gambar wajahnya pada papan tanda Rindu Klasik.

Zainap yang ditemui S2 baru-baru ini berkata, meskipun telah membuka kedai makan Rindu Klasik yang terletak di No. 52, Jalan Pelabur A/23A, Seksyen 23, Shah Alam, gerai makannya di Kompleks PKNS masih beroperasi.

Bagaimanapun anak kelahiran Melaka itu mengakui, bagi melicinkan operasi di tempat baru, beliau lebih banyak berada di kedai makan Rindu Klasik yang dibuka dari pukul 7 pagi hingga pukul 7 malam.

''Di Rindu Klasik, kami menyediakan menu yang sama seperti di Kompleks PKNS. Cuma di sini tempatnya lebih besar dan sudah tentu hidangan yang disediakan lebih banyak.

''Kami menyediakan sarapan, makan tengah hari dan hidangan 'ala carte' pada sebelah petang," katanya sambil menjelaskan yang kedai makan Rindu Klasik boleh memuatkan lebih 50 pelanggan pada satu masa.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai menu di kedai makan Rindu Klasik, Zainap berkata, bagi sarapan, para pelanggan boleh merasai keenakan pelbagai jenis kuih-muih tempatan.

Katanya, bagi menu tengah hari pula, masakan asam pedas ikan, daging dan tulang stail Melaka' menjadi pilihan pelanggan, selain masakan kampung.

''Pada sebelah petang pula, pelanggan boleh memesan makanan secara 'ala carte' seperti nasi dan mee goreng, tom yam serta lain-lain.

''Kami juga menyediakan pelbagai jenis minuman termasuk air kelapa dan cendol," ujar beliau yang pernah membantu keluarganya mengusahakan kantin di Sekolah Menengah Sains Air Keroh, Maktab Perguruan Melayu Melaka dan Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Zainap yang mewarisi bakat memasak daripada arwah ibunya, Maznah Jantan berkata, kedai makan Rindu Klasik juga menawarkan harga yang amat berpatutan kepada pelanggannya.

1 comment:

  1. Lauk mahal gle kalah nasi kandar. Aym seketul & sayir sikit & kuah kari kosong, takde nasi pun dah Rm6. Malas nk pegi lagi!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: