![]() |
| NUR MAHANI CHE MAT |
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Buat pertama kali dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seorang anggota wanita berketurunan Orang Asli menerima pembiayaan penuh untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Komander Nur Mahani Che Mat yang bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi wanita pertama dalam ATM menerima pembiayaan menyambung pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Kewangan di Universiti Wollonggong, Sydney, Australia.
Beliau yang berusia 40 tahun bakal mengikut jejak langkah suaminya, Komander Nur Azmel Awaludin, 40, yang turut melanjutkan pengajian di universiti sama dalam bidang Polisi Maritim.
Ibu kepada dua cahaya mata itu bersyukur kerana diberi peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menyifatkan tawaran tersebut sebagai cabaran kepadanya sebagai seorang isteri, ibu dan anggota TLDM.
"Saya berterima kasih kepada TLDM kerana memberi peluang kepada saya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dan juga sudi memberi pembiayaan penuh dalam usaha saya mendapatkan ijazah sarjana.
"Walaupun gembira dengan tawaran serta pembiayaan tersebut, saya sedar cabaran yang menanti selepas ini lebih besar kerana saya memikul beban banyak pihak yang ingin melihat saya berjaya selain perlu bijak membahagikan masa antara keluarga dan pelajaran.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu ia menjadi batu penghalang untuk mencapai kejayaan. Saya mahu pastikan pulang dengan segulung ijazah sarjana serta merealisasikan hasrat pihak yang mengharapkan kejayaan saya khususnya ATM dan TLDM," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Nur Mahani akan memulakan pengajiannya selama setahun pada 18 Februari ini.
Dalam pada itu, Asisten Ketua Staf (Sumber Manusia), Laksamana Pertama Yaakub Husin menyifatkan pemberian pembiayaan itu kepada Nur Mahani sebagai titik tolak kepada perkembangan karier anggota wanita dalam TLDM dan ATM.
"Kami memilih Nur Mahani kerana beliau merupakan seorang anggota yang memberi komitmen tinggi sewaktu menjalankan tugas, berdisiplin serta mempunyai rekod bersih.
"Kami berharap Nur Mahani akan menjadi sumber inspirasi kepada anggota wanita lain. Kami juga berdoa dan berharap beliau pulang dengan kejayaan," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: