Saturday, February 11, 2012

Saya dilayan seperti sampah- Anelka




LONDON - Nicolas Anelka mendedahkan mimpi buruk yang dialami sehingga memaksanya menamatkan kariernya bersama Chelsea adalah berpunca daripada bos, Andre Villas-Boas (AVB).

Pemain Perancis itu, yang kini berada di Sepanyol untuk sesi latihan pra-musim bersama kelab barunya, Shanghai Senhua masih sukar untuk percaya bagaimana khidmatnya di Stamford Bridge berakhir dengan peristiwa yang amat mengaibkan.

Pendedahan yang dibuat The Sun amat mengejutkan apabila akhbar itu melaporkan Anelka dipaksa berlatih bersama skuad remaja dan menggunakan bilik persalinan berasingan dengan rakan-rakannya dalam pasukan utama sebelum dia membuat keputusan mengejut untuk berpindah ke China. Malah, dia juga diarahkan supaya memarkir keretanya di parkir simpanan.

Penyerang itu merupakan antara pemain penting semasa era Carlo Ancelotti dan pemenang berganda Piala FA itu, merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana untuk musim 2008/09 dengan 19 gol.

Tetapi di bawah rejim bos Portugal itu, AVB tanpa belas kasihan telah menyingkirkannya dan pemain pertahanan, Alex selepas dia enggan menandatangani kontrak baru.

Anelka mungkin memiliki reputasi pemain berkepala angin, tetapi dia bukan seorang yang suka mencipta masalah. Penyerang itu juga menyalahkan Villas-Boas dan berkata pengurus itu telah membuatnya sedar dalam dunia bola sepak antarabangsa tiada kawan sejati. Layanan dingin AVB amat melukakan hati Anelka.

Katanya: "Saya tidak pernah dihukum sehingga dipaksa berlatih dengan pemain-pemain remaja. Saya mempunyai peralatan seperti mana bintang profesional miliki, tetapi mereka meletakkan saya di bilik persalinan berasingan - itulah bola sepak buat anda.

"Pada satu hari, anda akan menjaringkan gol dan melakukan apa sahaja buat kelab anda, tetapi pada hari anda meninggalkan kelab langsung tiada simpati dihulurkan.

"Sebab itu pada hari anda memutuskan untuk meninggalkan kelab, anda perlu melakukan apa yang perlu dibuat dan jangan bersedih, kerana tiada kawan sejati dalam bola sepak.

"Itulah kebenarannya, ia amat menyedihkan. Bola sepak adalah sukan berpasukan tetapi ia juga amat individualistik. Benar, saya memiliki karier yang baik dan berjaya, apabila saya pulang ke Perancis, penduduk pinggir bandar di mana tempat saya berasal amat bangga dengan saya.

"Mereka tahu saya tidak pernah berputus asa, saya telah diuji dengan begitu banyak dugaan, tetapi saya masih di sini. Shanghai adalah New York di Asia. Saya suka gaya hidup mereka, saya sering ke sana untuk bercuti."

Villas-Boas mungkin melayan Anelka seperti sampah tetapi ia bukan satu perkara yang baru buat bekas penyerang Arsenal, Real Madrid, Liverpool, Bolton dan Manchester City itu, yang juga gagal memenangi hati media Perancis yang bersikap skeptikal.

Dia mungkin menjaringkan gol penting ketika membantu Les Blues menyingkirkan Republik Ireland dalam perlawanan kontroversi kelayakan Piala Dunia dua tahun lalu, tetapi ia masih tidak memadai buat segelintir pihak.

Tambah Anelka: "Selepas melalui pengalaman pahit dan manis bersama pasukan Perancis, saya mempunyai tanggapan apa yang saya lakukan selama ini adalah yang terbaik buat negara saya, ia positif. Saya berpuas hati dengan diri saya.

"Tetapi, ia masih tidak mencukupi. Media menolak saya dan ia amat melukakan hati saya. Selepas saya berfikir sejenak, 'baiklah Piala Dunia atau tanpa Piala Dunia, saya sudah tidak peduli lagi'.

"Kenangan ini akan kekal sehingga ke akhir hayat saya. Apabila anda tahu yang anda telah menjalankan tugas dengan sempurna dan kemudian mereka hadir lalu menikam anda dari belakang, ia sesuatu yang cukup memeritkan."

Anelka yang menafikan dia tidak mempedulikan peluangnya untuk menyertai Paris St-German di bawah kendalian Ancelotti, bulan lalu, mendedahkan kontrak tiga tahun bersama China merupakan yang terakhir untuknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: