
KOTA KINABALU 10 Feb. - Kesemua anggota tentera di negara ini telah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang ditawarkan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup penjawat awam dalam sektor pertahanan negara.
Bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad masih terdapat segelintir yang tidak menerima had usia persaraan yang dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.
Katanya, kumpulan tersebut masih keliru dengan kelebihan yang bakal diperoleh mereka apabila bersara kelak.
Sehubungan itu, kata beliau, sesi taklimat dan dialog yang dilaksanakan oleh kementerian bersama anggota lain-lain pangkat sejak Disember lalu hingga kini dilihat banyak memberi peluang kepada kumpulan tersebut menyatakan pandangan dan permasalahan masing-masing.
"Menerusi program dialog santai seumpama itu, ia membuka ruang kepada semua anggota dan pegawai untuk menyatakan kekeliruan selain mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
"Bagi mereka yang masih tidak menandatangani skim persaraan baru yang ditawarkan, kerajaan masih memberi peluang kepada mereka untuk melakukannya sehingga hujung bulan ini dengan mengemukakan justifikasi kukuh," katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat dan dialog SBPA warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar dekat sini.
Beliau kemudiannya menyertai program yang sama dengan anggota tentera Markas 5 Briged Kem Lok Kawi.
Hadir sama pada majlis di TLDM Teluk Sepanggar ialah Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim dan Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, sesi dialog santai yang dilakukan oleh kementerian tersebut melibatkan lebih 20 buah tempat termasuk di Sabah dan Sarawak yang dilihat telah membuahkan hasil.
Katanya, tidak mungkin skim yang 'diadun' dengan kehendak sendiri oleh pihak jabatan tidak mampu memberi penambahbaikan kepada setiap anggotanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: