Wednesday, February 1, 2012

Neelofa Minta Tidak Dibandingkan Dengan Ogy

Neelofa

PETALING JAYA: Pelakon jelita Neelofa berharap penonton akan lebih bertimbang rasa dalam menilai kemampuannya menggalas watak Azura menerusi filem Azura 2012 berbanding lakonan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dalam filem tersebut terbitan 1984.

Neelofa berkata walaupun dia sudah menjangkakan perbandingan pasti akan berlaku, dia tetap berharap penonton akan bersikap adil kepadanya kerana watak itu adalah percubaan sulungnya dalam dunia lakonan.

"Perbandingan lakonan saya dan Ogy adalah sesuatu yang sudah dijangkakan dari awal lagi apabila saya menerima tawaran ini.

"Sebab itu saya sudah bersedia untuk dikritik dan dinilai oleh penonton yang sudah menonton kedua-dua versi filem ini," katanya ketika ditemui selepas pra-tonton filem itu di GSC One Utama, di sini, Isnin.

Ujar Neelofa, sebagai pendatang baru adalah tidak adil jika penonton menghukum atau memperlekehkan percubaannya menggalas watak itu tanpa memberikan peluang terlebih dahulu.

"Saya begitu sedar watak Azura sangat besar dan keramat kerana impak lakonan yang ditinggalkan oleh Ogy.

"Saya sudah berusaha untuk memberikan penghayatan terbaik tanpa asas dan pengalaman lakonan di dada.

"Tidak adil jika orang membandingkan lakonan saya dengan Ogy kerana beliau hebat dan berpengalaman berbanding pelakon baru seperti saya," katanya.

Neelofa berkata jika dilihat pada sudut positif, cabaran dan kesulitan menggalas watak itu sangat berguna dan baik untuk perkembangan kerjaya lakonannya.

"Selain menjadi profil yang bagus untuk saya, ilmu dan pengalaman dalam menjayakan watak ini sangat berguna bagi memantapkan mutu lakonan.

"Saya berharap ia akan jadi platform yang baik bagi perkembangan karier lakonan," katanya.

Selain Neelofa dan gandingannya Shahrizal Jaszle sebagai Zek, filem arahan Aziz M. Osman itu turut dibintangi Afdlin Shauki, Erma Fatima, Afida Es dan Nini Marlini.

Filem tersebut bukan filem versi baru (remake) tetapi hanya diadaptasi daripada konsep dan idea asal filem 1984 itu dengan olahan berbeza dan mengikut peredaran semasa.

Lakonan Neelofa dalam filem tersebut agak mengejutkan apabila beberapa pihak melihat pelakon itu gagal menghayati watak yang diberikan dengan baik.

Azura 2012 akan ditayangkan kepada umum bermula Khamis ini di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: