Wednesday, February 1, 2012

Mahu bebas berkarya

pix_middle

MELIHAT susunan trofi miliknya, Liyana Jasmay sudah mampu tersenyum dengan apa yang dimilikinya. Selama sembilan tahun menjadi anak seni, Liyana, 24, bersyukur dengan kejayaannya dan sekarang meneroka bidang baru yang lebih mencabar.

Selepas anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 menerusi filem Papadom dan sekali lagi Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Anugerah Skrin 2009 (Kami The Movie), Liyana yang mesra disapa Nana, sedang giat membuat percaturan baru.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bintang kelahiran Kuantan, Pahang yang mula mengukir nama menerusi filem Castello ini sedang berusaha menjadi seorang produser pula dengan mengendalikan syarikat produksi penerbitannya sendiri.

Mermaid Studio Sdn Bhd yang mula ditubuhkan tahun lalu menjadi bukti kesungguhan dan kreativiti dalam dirinya. Memilih untuk bekerjasama dengan keluarga sendiri, Liyana menyifatkan syarikat produksi itu satu platform terbaru untuk berkarya.


“Walaupun saya sudah banyak berlakon dalam filem dan drama, saya belum pernah merasai kepuasan kerana masih banyak yang perlu saya lakukan untuk terus menguatkan lagi bakat yang ada. Saya terlalu sukakan lakonan dan berusaha untuk memberikan yang terbaik seperti dikehendaki pengarah dan produser.


“Bagaimanapun perlu saya akui, ada kalanya sebagai seorang yang bekerja, saya hanya perlu melakonkan apa yang disuruh mengikut kehendak skrip dan idea asal. Saya tidak berupaya atau melangkaui imaginasi pengarah dalam mempersembahkan lakonan. Lantas di situ terdetik dalam hati, alangkah bagusnya kalau saya ada kuasa untuk mencorakkan sendiri watak untuk diri sendiri.

“Justeru, menerusi Mermaid Studio yang saya bertindak selaku Pengarah Kreatif, saya berpeluang untuk mencipta sendiri apa yang baik dan mencabar untuk diri sendiri selaku pelakon. Kebebasan dalam ekspresi pada watak serta pembangunan plot cerita itu terletak di tangan sendiri.

“Pendek kata, saya sudah punya pilihan untuk diri sendiri dan tidak lagi terikat dengan kehendak orang lain semata-mata,” katanya yang kecewa kerana terpaksa menolak tawaran berlakon daripada Datin Paduka Shuhaimi Baba kerana jadual bertindih dengan Papadom 2.

Tambahnya lagi, tanggungjawab memantau skrip dan memberikan idea bagi menerbitkan sebuah drama adalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Idea dan konsep banyaknya daripada saya kerana itulah minat dan kesungguhan saya. Saya suka untuk melihat pembangunan watak dan mencantikkan lagi plot cerita sesebuah drama agar ia tampak berbeza dan menghiburkan. Setakat ini, saya sendiri yang membuat pembentangan kertas kerja setiap drama kepada stesen televisyen.

“Saya bertuah kerana ada ramai kawan yang semuanya terdiri daripada orang berpengalaman di belakang tabir. Lantas apabila ingin mengumpulkan mereka yang berpengalaman untuk menerbitkan drama, saya tidak punya masalah. Ada kalanya mereka sendiri yang ketawa kerana mula mengenali saya ketika masih kecil tapi sekarang saya pula yang jadi produser.

“Namun sebagai orang baru dalam lapangan penerbitan, saya ingin sekali mengawal semua kualiti drama. Biar perlahan dan sedikit penghasilannya, namun setiap satu itu mempunyai kualiti yang baik. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya memang memandang jauh untuk menjadi seorang pengarah dan menerbitkan sebuah filem pula,” katanya.

Mermaid Studio Sdn Bhd sudahpun menerbitkan drama Tudung Tweet pada Oktober lalu untuk tayangan TV9 yang membuka ruang buatnya memegang watak Zubaidah. Ia satu peranan yang berbeza daripada lakonan sebelumnya.

Sibuk mencatur perancangan masa depan untuk syarikat bersama kakaknya, Liyana bakal muncul dalam sebuah lagi drama berjudul Paris Masuk Kampung yang akan ditayangkan di Astro Prima, Mac depan.

Jelas Liyana lagi, inspirasi untuknya beranikan diri melangkah ke fasa yang tinggi ini adalah berpaksikan semangat Afdlin Shauki dan Rosyam Nor.

“Kelakarnya, sejak awal pembabitan dalam pentas seni, saya banyak bergaul dengan pelakon ‘senior’ dan orang yang jauh lebih dewasa. Macam-macam yang kami lakukan bersama dan sembangkan terutama ketika berjam-jam berada di lokasi penggambaran.

“Jadi gerak percakapan dan pemikiran saya memang jauh lebih dewasa dan logikal daripada mereka yang sebaya dengan saya. Gadis remaja lain sibuk memikirkan soal kahwin, kerja seharian dan aktiviti remaja, saya pula sudah jauh memikirkan soal perniagaan dan langkah membina empayar bagi mengukuhkan masa depan sebagai anak seni.

“Alhamdulillah, rezeki itu datang awal buat saya. Meskipun masih muda, saya sudahpun berpeluang memiliki sebuah syarikat yang saya kira mampu menolak diri ke depan. Saya percaya akan frasa tiada siapa yang mampu memimpin kita ke depan melainkan diri sendiri. Lantas inilah peluang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Selain sibuk dengan penubuhan Mermaid Studio dan jadual penggambaran filem Papadom 2, 2011 juga adalah tahun yang padat buatnya menghabiskan pengajian dalam jurusan Seni Persembahan di Kolej Sunway.

Mungkin ada yang beranggapan kononnya bintang filem Duhai Si Pari Pari, Niyang Rapik dan Senjakala ini sendu seketika dek kemunculan banyak wajah baru. Liyana sebenarnya tidak lari jauh kerana meletakkan sepenuh fokus untuk mencatur langkahnya sebagai penyanyi.

Selepas lagu Aku Tak Percaya Cinta yang setidak-tidaknya membolosi corong radio, Liyana akan muncul dengan lagu terbarunya, Cinta Bersatu, tahun ini.

“Saya masih aktif menyanyi. Selepas lagu Aku Tak Percaya Cinta, saya akan kembali ke studio rakaman untuk pembikinan album mini akan datang dan mengumpul segala material. Setakat ini, lagu Cinta Bersatu ciptaan kumpulan Tilu sudahpun siap dan akan menemui peminat pada bulan depan serentak dengan kemunculan drama Paris Masuk Kampung yang juga bertindak sebagai lagu soundtrack.

“Itulah strategi terbaik yang saya nampak. Saya akan cuba merakamkan sebuah lagu untuk setiap drama yang saya terbitkan. Kemudian semua lagu itu akan saya kumpul untuk dihimpunkan dalam sebuah album mini nanti,” katanya yang kini sibuk dengan proses pembikinan drama terbaru terbitannya berjudul Fiksi Fixie tayangan Astro April depan.



Trivia Liyana Jasmay

  • Anak bongsu daripada empat beradik ini terkenal dengan sikap manja dan peramah di kalangan wartawan hiburan.

  • Lagu Aku Tak Percaya Cinta pernah menduduki carta teratas di beberapa stesen radio tempatan meskipun awalnya ramai yang mengkritik kononnya vokalnya ala kadar saja.

  • Nana jarang hadir keseorangan pada majlis rasmi kerana selalu ditemani ibunya.

  • Gosip cintanya sebelum ini dengan Aizat dan pengarah popular, Syamsul Yusof mendapat liputan hangat daripada pihak media, namun kedua-duanya tidak menjadi.

  • Liyana memang kaki ‘shopping’ dan dia gemar membeli beg tangan dan kasut.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: