Saturday, February 18, 2012

Mom's Laksa pikat selera


PENGURUS Mom's Laksa Kopitiam, Suzana Jamali menyediakan laksa Sarawak di Kuching, Sarawak.


SEBAGAI satu 'signature dish' di Bumi Kenyalang, laksa Sarawak boleh ditemui di dalam buku menu mana-mana restoran ataupun gerai makan di seluruh negeri itu.

Namun apabila memperkatakan mengenai laksa Sarawak yang terbaik, nama Mom's Laksa acap kali disebut-sebut oleh penduduk tempatan, khususnya di bandar raya Kuching.

Ya, memang benar masih terdapat laksa Sarawak lain yang tidak kurang hebatnya tetapi Mom's Laksa telah berjaya meletakkan jenamanya dalam kelas tersendiri apabila menggondol tempat kedua dalam anugerah Fabulous Food 1Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan dalam kategori laksa pada 2009.

Jadi, tidak peliklah kenapa ruang letak kereta di deretan bangunan kedai dan pejabat yang baru disiapkan bersebelahan stesen Petronas, Jalan Astana, Kuching, dipenuhi kenderaan bermula pukul 7 pagi hingga 11 malam, walhal Mom's Laksa pada masa ini merupakan premis tunggal yang beroperasi di situ.

Baru-baru ini, S2 berkesempatan menemui individu di sebalik kejayaan Mom's Laksa iaitu Hadiah Yak, 58, pencipta resipinya yang kini menjadi buah mulut masyarakat setempat.

Menceritakan perjalanan perniagaannya, Hadiah berkata ia bermula sejak 17 tahun lalu melalui gerai-gerai kecil di medan selera ataupun menumpang di restoran orang lain di sekitar bandar raya ini.

Pernah mempunyai beberapa gerai serentak di lokasi yang berbeza, beliau berkata pada masa itu laksanya tidak mempunyai nama khas , sebaliknya dikenali dengan nama tempat beliau berniaga.

"Dulu saya berniaga berdekatan kedai Supersonic, jadi orang panggil laksa Supersonic, bila meniaga di medan selera Koperkasa, orang panggil laksa Koperkasa.

"Dalam masa beberapa tahun ini sahaja, ia dipanggil Mom's Laksa. Itu nama yang anak-anak beri," katanya.

Mengulas lanjut, Hadiah berkata selepas belasan tahun berniaga di gerai, beliau dan anak-anak akhirnya membuat keputusan untuk membuka Mom's Laksa Kopitiam sejak empat bulan lalu dan menutup semua gerai lain kecuali sebuah di kedai makan yang terletak kira-kira 50 meter dari kopitiamnya.

"Memang amat dekat tapi kita kekalkannya di situ untuk tidak mengecewakan pelanggan sekiranya tempat duduk di sini penuh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: