Saturday, February 18, 2012

Beriadah selepas malam berlabuh


KEMUDAHAN gelanggang badminton turut disediakan untuk pengunjung.


BERADA di luar premis pusat rekreasi Extreme Sports Centre di Sunway City Ipoh, Perak, hati segera meneka, apa sebenarnya keistimewaan pusat ini sehingga semakin kerap meniti di bibir penduduk di bandar raya ini.

Saat kaki melangkah masuk, kelihatan suasana di dalamnya begitu meriah dengan gelak tawa dan jeritan orang ramai yang melakukan pelbagai aktiviti walaupun jarum jam semakin melewati detik 12 malam.

Sejenak penulis terkenang, jika dahulu kita sering membuat tafsiran saat malam melabuhkan tirainya, itu merupakan petanda untuk kita pulang merehatkan badan setelah seharian bekerja.

Namun, perubahan zaman menyebabkan berlakunya pertukaran gaya hidup. Saat malam menjelma, ia merupakan waktu terbaik untuk mereka yang bekerja di siang hari bersantai bersama rakan dan keluarga bagi melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan badan.

Justeru itu, berada di pusat rekreasi ini, kita bakal disajikan dengan pemandangan biasa yang dapat dilihat saban hari di sini di mana pengunjung yang datang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Pusat rekreasi setempat yang mula beroperasi sejak tahun 2007 ini menyediakan pelbagai aktiviti riadah keluarga seperti paintball, badminton, futsal, golf, go-kart dan memanah.

Menurut pengurusnya, Ryan Ng Jin Hoe, Extreme Park dibuka kepada pengunjung setiap hari seawal pukul 9 pagi sehingga 2 pagi.

Malah katanya, bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, mereka juga akan melanjutkan tempoh masa operasi berdasarkan jumlah pengunjung.

"Walaupun pusat ini dibuka sejak pagi, namun kehadiran pengunjung lebih banyak dicatatkan menjelang malam kerana kebanyakan yang datang adalah mereka yang bekerja.

"Bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka, kami tidak kisah untuk melanjutkan masa operasi asalkan pengunjung yang datang dapat bergembira dengan aktiviti mereka sepuas hati," katanya kepada S2 di sini, hari ini.

Menurutnya, sebagai satu-satunya pusat rekreasi setempat yang ditawarkan di bandar ini, Extreme Park sememangnya menjadi pilihan kepada pengunjung yang gemarkan aktiviti bersukan.

"Kami mahu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di bandar ini. Malah, melalui pusat rekreasi setempat ini, penduduk mempunyai pelbagai pilihan bagi melakukan aktiviti riadah kesukaan mereka.

"Selain itu, dengan harga yang berpatutan yang ditawarkan, Extreme Park merupakan pilihan tepat kepada mereka yang gemarkan aktiviti bersukan," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd. Firdaus Tahir, 27, berkata, dia akan datang ke pusat rekreasi itu sejurus selepas pulang bekerja bagi menyertai rakan-rakannya bermain futsal.

"Selepas waktu kerja sahaja masa yang ada untuk kami bersukan kerana pada waktu siang, semua rakan-rakan sibuk dengan urusan masing-masing.

"Lagipun, daripada terlibat dengan aktiviti malam yang tidak berfaedah, lebih baik kami ke sini, selain menyihatkan badan, ia juga merapatkan hubungan sesama rakan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: