Friday, February 17, 2012

Memberi harapan golongan kurang upaya


Ellie Xie (depan tiga dari kiri), Muhammad Feisol Hassan (baris kedua enam dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Sung Hwan Do (depan dua dari kiri) meraikan atlet-atlet dari Special Olympics di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


KADANGKALA apa yang diperlukan oleh seseorang itu hanyalah satu peluang yang boleh meningkatkan keyakinan diri bagi mencipta suatu kejayaan.

Peluang sebegini jugalah cuba diberi oleh pertubuhan Special Olympics, kepada golongan kurang upaya intelektual dengan mencari kejayaan, kebahagiaan dan persahabatan melalui sukan.

Sebagai sebuah pertubuhan sukan terbesar di dunia untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang upaya intelektual, Special Olympics membawa mesej kepada masyarakat bahawa golongan ini juga boleh berjaya jika diberi peluang,

Pengerusi Special Olympics Malaysia, Datuk Muhammad Feisol Hassan berkata, atlet dari pertubuhan itu adalah unik kerana mereka terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang upaya intelektual.

"Setiap atlit yang kami uruskan mengalami perubahan di dalam kehidupan mereka hanya dengan kuasa sukan.

"Mereka berbeza kerana mereka mungkin belajar kemahiran baru dengan perlahan atau mungkin tidak dapat memahami idea yang boleh difahami dengan mudah oleh orang lain

"Namun matlamat kami adalah untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik, lebih sihat dan lebih menyeronokkan untuk golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen mengumpul dana untuk Special Olympics anjuran Procter & Gamble (P&G) dan Tesco di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Cerita-cerita yang menyentuh jiwa mengenai transformasi positif kanak-kanak kurang upaya ini ternyata memberi inspirasi kepada dua syarikat tersebut untuk melancarkan kempen meraih dana bagi pertubuhan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie, berkata, matlamat kempen adalah untuk mengumpul dana RM100, 000 bagi Special Olympics dalam kempen yang berlangsung selama dua bulan.

Katanya, orang ramai yang berhasrat untuk membantu boleh membeli produk P&G yang mengambil bahagian di semua pasar raya Tesco di seluruh negara.

"Saya percaya apa yang amat diperlukan oleh golongan ini ialah sokongan dan galakan untuk hidup, belajar dan berjaya.

"Dengan membantu Special Olympics menyediakan latihan dan peluang, secara tidak langsung membuka jalan kepada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka membesar sebagai individu yang berkeyakinan dan berjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: