KEMUNCULANNYA dalam dunia fotografi adalah kerana minat yang begitu mendalam selain ingin mengembangkan bakat yang dimilikinya.
Malah penglibatannya sejak 15 tahun lalu merupakan pilihan tepat apabila hingga kini permintaan untuk menggunakan khidmatnya 'ditagih' sama ada oleh bakal-bakal pengantin mahupun badan-badan korporat.
Beliau bukan sahaja dilihat mampu mengambil gambar-gambar pasangan mempelai malah anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak, ini juga boleh menangkap pelbagai gambar dalam pelbagai majlis dengan pelbagai sudut yang menarik.
Bercerita lanjut penglibatannya dalam bidang fotografi, Adinorhisham Aziz, 41, menjelaskan, segala-galanya bermula daripada hobi.
Dia yang sememangnya meminati bidang fotografi sejak berusia 15 tahun tidak mensia-siakan peluang yang ada apabila ayahnya sendiri secara sukarela menawarkan diri untuk membimbingnya.
"Oleh kerana minat yang terlalu mendalam dalam bidang fotografi, saya sanggup belajar selok belok mengenainya sejak berumur 15 tahun lagi.
"Daripada situlah segala-galanya bermula dan ayah juga menyokong apa yang saya lakukan dan secara tidak langsung dia turut memperturunkan ilmu yang dimilikinya pada saya.
"Alhamdulillah, berkat usaha gigih hari ini ia merupakan salah satu cabang sumber rezeki buat saya sekeluarga," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hari ini, biarpun saban minggu diarinya sentiasa dipenuhi dengan tempahan oleh individu mahupun syarikat korporat yang mahukan perkhidmatannya, ia tidak pernah dijadikan alasan untuk mengenepikan tugasnya sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya, Selangor.
Ini kerana, menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, bidang fotografi hanyalah hobi yang dijadikan kerjaya sampingan manakala juruteknik adalah kerjaya tetapnya sejak 23 tahun lalu.
Tambahnya lagi, bidang fotografi memberi satu kepuasan apabila dapat melihat gambar-gambar hasil kreativiti sendiri.
Bagi membuktikan kesungguhannya dalam bidang tersebut, Adi telah berjaya membuka sebuah syarikat sendiri di bawah jenama D'Sayang Photography & Entertainment.
Dan kini setelah 13 tahun mengusahakan perniagaan tersebut, Adi bukan sahaja membuktikan bahawa sesuatu itu tidak mustahil dilakukan jika mempunyai minat dan usaha, malah ia juga berbaloi.
Begitupun, Adi tidak pernah mendabik dada dengan kemahiran serta pengalaman yang diperolehnya sepanjang 13 tahun dalam dunia fotografi.
Malah dia sentiasa menagih ilmu daripada senior-senior untuk memantapkan lagi kemahiran dalam bidang tersebut.
Jika dilihat kembali sejarah penglibatan Adi di dalam bidang fotografi ini, ternyata ia bukanlah dilakukan tanpa matlamat.
Kesungguhannya jelas terbukti ia tidak hanya setakat mengikuti kursus-kursus jangka pendek mahupun panjang malah Adi juga sebenarnya pernah terlibat sebagai jurugambar konti dalam perfileman.
Adi juga sebenarnya merupakan seorang insan yang bertuah kerana bapa saudaranya, Allahyarham M. Rajoli yang mendedahkannya dalam bidang perfileman.
Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada Adi untuk melebarkan sayap dalam bidang fotografi.
"Sebelum tumpuan sepenuhnya diberikan pada majlis-majlis kahwin dan juga majlis-majlis korporat, saya terlebih dahulu terlibat dalam dunia perfileman.
"Ketika itu saya banyak mengambil gambar-gambar artis yang terlibat dalam dunia lakonan dan ternyata ia satu pengalaman yang berbeza jika dibandingkan dengan situasi sekarang.
"Inilah sedikit sebanyak pengalaman yang diperoleh ketika mula-mula saya menjinakkan diri dalam dunia fotografi dan cukuplah setakat itu dan hari ini saya lebih memberi tumpuan kepada majlis-majlis kahwin dan juga korporat," ujarnya yang juga merupakan salah seorang ahli Angkatan Seni Foto Nasional (ASFON), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Akuinya lagi, berkecimpung dalam bidang fotografi memerlukan seseorang itu serius dan fokus pada tugasnya.
Ia adalah untuk menghasilkan sebuah gambar yang bagus dan cantik untuk simpanan hari mendatang.
Terang Adi, bidang fotografi merupakan satu cabang seni yang menuntut pemahaman teknik serta kaedah tertentu.
Tegasnya lagi, seperti individu lain, dia turut berazam untuk memiliki sebuah studio miliknya sendiri suatu hari nanti.
D'Sayang Photography & Entertainment juga merupakan salah satu rakan penaja bagi Peraduan Gerbang Cinta Musim Ketiga Mega Utusan Malaysia.
Kali ini D'Sayang Photography & Entertainment akan bekerjasama dengan ASFON untuk merealisasikan impian pasangan mempelai sehingga pemenang tempat kelima.
Yang pasti, hasil kerja Adi setanding dengan jurugambar profesional malah kecekapannya ketika mengambil gambar tidak perlu dipertikaikan lagi.
Kiranya setiap gambar yang diabadikan di atas sekeping kertas mampu membuat mereka tersenyum melihatnya.
Bagi yang ingin mendapat khidmat fotografi D'Sayang Photography Entertainment boleh menghubungi terus 012-3689462, 019-3736262 atau layari http://d-sayang.fotopages.com untuk melihat hasil kerja Adi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: