Saturday, February 4, 2012

'Membelah' hutan


SELEPAS menunggu air surut lebih dua jam, barulah kami berani meredah sungai yang berarus deras.


Bagi memenuhi minat tersebut, banyak pihak sama ada kelab atau persatuan rekreasi, agensi pelancongan atau orang perseorangan sentiasa mengadakan aktiviti berkaitan.

Antaranya adalah Red Adventure yang diketuai oleh Narimah Samat. Sepanjang tahun, ada sahaja aktiviti rekreasi yang diadakan.

Antara lokasi yang pernah dijengah oleh Red Adventure adalah Lubuk Kawah di Tanjung Malim, Perak. Biasanya, sebelum sebarang aktiviti dianjurkan, pihak Red Adventure akan mengadakan tinjauan lokasi (recce) bagi memastikan laluan off-road yang bakal ditempuh oleh para peserta tidak dipenuhi halangan seperti pokok tumbang dan sebagainya. Jika ada, aktiviti pembersihan akan dilakukan.

Hakikatnya, penulis telah lama mendengar tentang lokasi perkhemahan di Lubuk Kawah, namun tidak berpeluang mengikutinya melalui cara merentas hutan. Justeru, pelawaan Narimah menemaninya melakukan tinjauan lokasi baru-baru ini sukar dilepaskan.

Kami seramai tujuh orang yang menaiki dua jentera 4x4 meredah kegelapan malam dari Taman Ukay Perdana, Ampang menuju ke Teratak River View (TRV) yang terletak di tebing Sungai Bernam, dekat Tanjung Malim.

Sungai Bernam memisahkan negeri Selangor dan Perak. Ketibaan kami disambut oleh sekumpulan rakan penggemar aktiviti 4x4 lain yang kebetulan berkhemah di tapak perkhemahan TRV.

Dalam mengharung kesejukan malam, kami akhirnya terlena sambil dibuai gemersik aliran sungai yang jernih. Keesokan pagi, barulah kami menyambung semula perjalanan ke tapak perkhemahan Lubuk Kawah.

Laluan awal meredah kebun sebelum kami tiba di sungai yang deras airnya. Kami berjaya menyeberangi sungai itu walaupun sebuah jentera 4x4 tersangkut pada batu besar yang tidak kelihatan kerana ditenggelami air.

Perjalanan diteruskan dengan ngauman bunyi enjin jentera 4x4 yang memecah keheningan hutan. Untuk mengalas perut, kami menjamah roti dan air milo panas di pertengahan jalan.

Laluan mengikut alur anak sungai menjadi pilihan kerana ia lebih mudah. Mendaki tebing sungai memerlukan kemahiran kepada sesiapa sahaja yang mengendalikan jentera 4x4. Namun kecekapan pemandu 4x4 di laluan off-road berpengalaman, Hussin Usman berjaya mengatasi segala cabaran.

Ketika menempuh laluan becak dan tanah merah yang lembik kerana disimbah hujan, hati penulis agak berdebar-debar kerana terasa jentera yang dinaiki seperti mahu terbalik. Apatah lagi, di kiri dan kanan laluan tanah lembut itu adalah tebing yang tinggi.

Debaran berakhir tatkala kami tiba di tapak perkhemahan yang terletak di tepi jeram yang mengalir jernih. Difahamkan, sungai itu adalah Sungai Perah yang mengalir masuk ke Sungai Bernam. Lubuk Kawah pula terletak di aliran sungai lain yang mengalir masuk ke Sungai Perah.

Kami tidak pergi ke lokasi air terjun Lubuk Kawah yang memerlukan seseorang berjalan kaki kira-kira setengah jam untuk tiba di situ. Sebaliknya, kami melakukan aktiviti menjala dan memancing ikan. Banyak juga ikan yang berjaya dinaikkan ke darat terutama ikan tengas dan ikan sebarau.

Pada malamnya pula, kami menyediakan hidangan barbeku yang lazat. Selain ikan sungai, kami juga memanggang ayam, sosej dan ikan laut (ikan cencaru). Nampaknya, ikan cencaru yang juga dipanggil ikan 'jaket' tidak laku. Yang pantas habis adalah ikan-ikan sungai yang isinya terasa begitu 'manis' dan menyelerakan. Itulah nikmatnya jika dapat meratah ikan sungai yang baru ditangkap.

Tidur di dalam hutan memang melenakan. Apatah lagi ditemani bunyi-bunyian unggas hutan yang menghiburkan, selain desiran aliran sungai yang mengasyikkan. Kedinginan persekitaran tidaklah menganggu tidur kerana kami membawa beg tidur yang cukup untuk menghangatkan tubuh yang kedinginan. Lebih-lebih lagi, kami tidur beralaskan katil lipat. Memang selesa berkhemah mengikut gaya 4x4 kerana peralatan yang berat boleh diangkut tanpa masalah.

Keesokan paginya, kami dikejutkan dengan kehadiran hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Ini membuatkan paras sungai meningkat tinggi sehingga jentera 4x4 yang kami naiki gagal melepasinya ketika dalam perjalanan pulang. Kami 'terperangkap' lebih dua jam, menunggu air surut.

Berbekalkan keyakinan yang tinggi, kami akhirnya meredah juga arus deras selepas dua jam menunggu. Alhamdulillah, kesemuanya selamat tiba di seberang tanpa masalah dan akhirnya kami tiba semula di TVR pada lewat petang.

Bagi mereka yang mahu mengadakan aktiviti perkhemahan 4x4, bolehlah menghubungi Narimah di talian 019-3711662 atau hubungi e-mel di alamat red.adventure@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: