Saturday, February 4, 2012

Apple Lodge ringkas namun selesa


BANGUNAN Apple Lodge yang terletak di tengah-tengah bandar raya Miri.


ASALNYA ia adalah sebuah pekan nelayan, namun lokasinya yang strategik sebagai pintu masuk ke Sarawak sehingga kerap menjadi persinggahan pelancong dari Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah membolehkan Miri berkembang pesat menjadi sebuah bandar raya.

Diisytiharkan sebagai Bandar Raya Peranginan pada 2005 oleh kerajaan negeri, Miri juga mendapat jolokan syurga membeli-belah dan pusat makanan laut sehingga menjadi tarikan utama pelancong tempatan mahu pun pelawat luar negara.

Selain itu, bandar raya yang menempatkan pelantar gerudi minyak petroleum darat pertama di Malaysia ini turut memiliki Taman Negara Niah dan Taman Negara Bukit Lambir, di samping Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan dunia.

Sesuai dengan statusnya sebagai Bandar Raya Peranginan, tidak sukar mendapatkan kemudahan penginapan di sini kerana baik rumah tumpangan, hotel bajet mahupun hotel bertaraf lima bintang, kesemuanya tumbuh bak cendawan selepas hujan di merata tempat di Miri.

Bagi pelancong bajet rendah tetapi inginkan penginapan selesa sepanjang berada di bandar raya ini, ruangan ini mencadangkan anda memilih Apple Lodge yang terletak di Jalan Miri Pujut kerana ia memang tidak menghampakan.

Berkonsepkan hotel bajet, Apple Lodge yang beroperasi sejak Oktober 2001 menawarkan 22 bilik dengan harga berpatutan bermula RM60 hingga RM150 sebilik.

Sejak mula beroperasi, Apple Lodge sentiasa menerima pengunjung termasuk pelancong asing yang mengembara bersendirian, pengunjung berkeluarga dan pekerja luar pesisir pantai.

Ini kerana, selain harga berpatutan, lokasi hotel tiga tingkat itu cukup strategik memandangkan ia terletak betul-betul di pusat bandar raya Miri.

Sebut sahaja pusat hiburan, pusat beli-belah, restoran atau kemudahan bank, semuanya terletak berdekatan Apple Lodge dan penginap hanya perlu berjalan kaki untuk ke destinasi yang disukainya.

Malah jangan terkejut, Apple Lodge turut menyediakan saluran penuh televisyen berbayar Astro, kemudahan pancuran air panas dan sejuk, tab mandi, mini bar, televisyen skrin rata, peti sejuk, jalur lebar, lif dan pelbagai lagi kemudahan yang jarang disediakan di hotel bajet sepertinya.

Penyelianya, Supang Gatum, 45, berkata, walaupun harga bilik di Apple Lodge murah, namun keselesaan pelanggan tetap menjadi keutamaan pihaknya.

"Kami mahu pelanggan memilih untuk menginap semula di Apple Lodge apabila mereka kembali ke bandar raya ini.

"Sebab itulah, kami sentiasa menambah baik kemudahan yang disediakan dari semasa ke semasa untuk keselesaan mereka," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurut Supang, pelbagai pilihan saiz bilik disediakan pihaknya, sama ada yang mempunyai satu, dua atau empat katil bagi memenuhi keperluan pelanggan.

"Bagi pengunjung yang datang secara berkumpulan, mereka boleh memilih bilik enam katil dengan harga yang cukup berpatutan iaitu RM150 semalam atau kira-kira RM25 seorang, manakala bagi bilik empat katil, hanya RM130," katanya,

Apple Lodge bukan sekadar menawarkan kemudahan penginapan kerana pihak pengurusan turut menyediakan pakej pelancongan ke Tanah Tinggi Ba'kelalan yang terkenal dengan tanaman buah epal, garam bukit dan beras.

Malah Apple Lodge turut memiliki cawangannya sendiri di Ba'kelalan.

Menurut Supang, sekiranya ingin menginap di Apple Lodge pada hujung minggu, pelanggan perlu membuat tempahan awal dengan menghubungi pihaknya kerana tempahan meningkat mendadak pada waktu itu.

"Apple Lodge kini membina populariti kerana kami sentiasa berusaha menambah baik kemudahan di hotel ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengunjung berasa selesa dan berbaloi tinggal di sini.

"Ini sejajar dengan konsep hotel yang mampu didiami, mesra dan selesa, selain kami mahu Apple Lodge menjadi hotel bajet yang terbaik di Miri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: