![]() |
| AKSI hebat Dhanaraj (kanan) pada zaman kegemilangannya sebagai jaguh taekwondo disegani. |
IMING atau ketepatan masa ada kalanya memainkan peranan penting dalam menentukan seseorang atlet itu berjaya atau tidak.
Ada sesetengah atlet, meskipun sudah mengerah kudrat lebih sedekad, namun impian mengecapi kejayaan di peringkat tertinggi masih tidak mampu dilakukan.
Ada segelintir pula mengambil keputusan bersara awal tanpa sebarang kekesalan kerana telah mengecapi pelbagai kejayaan.
Bekas jaguh taekwondo negara, R. Dhanaraj tergolong dalam kumpulan mereka yang bersara awal tanpa kekesalan.
Pencapaian terbesarnya ketika bergelar atlet adalah mengharumkan nama Malaysia menerusi kejayaan meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia di Seoul, Korea Selatan pada 1989.
Keupayaan Dhanaraj bergelar atlet taekwondo ketiga terhebat dunia bagi kategori featherweight (64 kilogram ke bawah) pada tahun itu, sememangnya layak diiktiraf sebagai pencapaian gemilang Malaysia dalam sukan seni mempertahankan diri yang berasal dari Korea itu.
Ini kerana Dhanaraj, yang kini berusia 44 tahun, hanya seorang daripada hanya dua atlet Malaysia yang pernah melepasi peringkat separuh akhir pada kejohanan berprestij itu sehingga hari ini.
Pencapaian membanggakan di pentas dunia itu juga membolehkan nama Dhanaraj dipahat dalam The Malaysia Book of Records sebagai atlet taekwondo pertama negara meraih pingat Kejohanan Dunia.
Orang kedua yang berjaya mengulangi pencapaiannya adalah Wong Ching Beng, dilakukannya dalam kategori bantamweight (58kg ke bawah) pada edisi 1993 di New York, Amerika Syarikat.
"Jangan nak kata peringkat dunia, di Asia pun pencapaian saya pada awalnya tidak seberapa. Saya tidak berkesempatan beraksi di Sukan Asia dan dalam dua penampilan pada Kejohanan Asia, saya sering kandas di pusingan awal.
"Tetapi 1989 memang tahun bertuah saya," katanya yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada tahun tersebut.
Dhanaraj yang kini bergelar ketua jurulatih taekwondo kebangsaan menambah, beliau dan sembilan rakan sepasukan diberi peluang beraksi pada Kejohanan Dunia buat pertama kali berikutan kecemerlangan skuad taekwondo menyapu 10 emas di Sukan SEA.
"Kami - 10 pemenang pingat emas Sukan SEA kesemuanya mendapat ganjaran tidak ternilai dengan peluang menguji kebolehan masing-masing di peringkat dunia. Sebaik tamat Sukan SEA, kami tidak membuang masa dan terus gigih berlatih membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dunia.
"Entah kenapa timbul feel good factor (perasaan positif) dalam diri saya, penuh dengan keyakinan menjelang Kejohanan Dunia. Orang sering kata, setiap atlet ada saat istimewanya tersendiri, mungkin 'timing' saya pun sudah tiba," imbas Dhanaraj.
Menurut Dhanaraj, beraksi pada Kejohanan Dunia memberi kelainan buat dirinya kerana beliau langsung tidak tahu menahu kekuatan lawan.
"Dulu mana ada internet, bahkan mahu mendapatkan rakaman video lawan pun sukar. Dan, satu lagi yang kamu mungkin terkejut mengenai kejohanan dulu, semua peserta akan 'dikuarantin' di satu ruang sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.
"Keadaannya berbeza dulu dan sekarang. Peserta tidak dibenarkan duduk di tempat penonton bagi menyaksikan pertarungan lawan. Jadi, bayangkan, kami tidak mempunyai sebarang data mengenai kekuatan dan kelemahan lawan. Segalanya hanya diketahui sewaktu bertarung," katanya.
Bertuah mendapat bye di pusingan pertama, Dhanaraj memulakan saingan di pusingan berikutnya dengan penuh memberangsangkan apabila menumbangkan peserta Sweden.
Pertarungan dengan peserta Mesir di pusingan ketiga disifatkan Dhanaraj sebagai pertarungan 'paling sengit dalam hidup'.
"Kejayaan melakukan kejutan ke atas peserta tinggi lampai itu adalah kejayaan paling manis dalam karier saya. Saya diberitahu dia adalah peserta yang sudah mencipta nama di Eropah dan disebut-sebut sebagai favourite dalam kategori ini.
"Di suku akhi pula, saya berjaya menewaskanpeserta Switzerland dan mengatur pertemuan separuh akhir dengan Hubert Sinegre. Malangnya, kemaraan saya disekat oleh Hubert, seingat saya kalah dengan kiraan 4-6.
"Saya juga ingat bagaimana salah satu tendangannya begitu padu membuatkan saya putus nafas seketika. Hubert memang peserta yang bijak dan berpengalaman, bertarung dengannya saya terpaksa mengubah kepada corak menyerang.
"Saya biasanya lebih gemar bertahan sambil menunggu peluang terbaikmelepaskan tendangan back kick dan double turning kick, tetapi pada hari itu saya langsung tiada ruang berbuat demikian," imbas Dhanaraj, yang merupakan bapa kepada dua anak itu.
Kejayaan meraih gangsa itu melayakkan Dhanaraj tercalon sebagai Olahragawan Kebangsaan 1989. Anugerah tersebut dimenangi jaguh badminton, Foo Kok Keong.
Selepas menikmati kemuncak prestasi pada 1989, Dhanaraj berada di ambang pengakhiran kariernya.
Pada Sukan SEA 1991 di Manila, beliau yang turun sebagai pilihan untuk mempertahankan emas, tumpas mengejut di pusingan pertama kepada atlet tuan rumah, Robert Wagas, pemenang pingat perak edisi lalu.
"Biarpun tewas dengan jurang satu mata, saya tidak tewas kerana pengiraan berat sebelah.
"Saya tidak membuat persiapan sempurna pada temasya itu akibat kecederaan kaki," ceritanya.
Setahun kemudian, selepas memenangi gelaran kebangsaan buat kali terakhir (kejuaraan kelimanya sejak 1987), beliau membuat keputusan bersara selepas mewakili negara sejak 1986.
"Tempohnya (aktif sebagai atlet) memang singkat, namun tiada apa yang dikesalkan. Kalau ada pun kekesalan, mungkin kerana tidak berkesempatan beraksi di Olimpik (taekwondo tidak dipertandingkan secara rasmi sehingga Temasya Atlanta 1996).
"Saya ingat lagi pada awalnya ayah tidak izinkan saya memilih sukan ini kerana khuatir saya menyalahgunakan kemahiran taekwondo untuk bergaduh.
"Namun, taekwondo telah menjadikan saya berjaya dalam kehidupan. Ia juga mengajar saya hidup dengan penuh berdisiplin dan cara membawa diri," katanya menutup perbualan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: