PETALING JAYA: Walaupun dibesarkan dalam dunia moden, pelakon jelita, Lisa Surihani, masih lagi melakukan amalan tradisi Melayu sebelum bergelar isteri kepada Yusry Abdul Halim pada 23 Februari ini.
Lisa berkata, dia telah memenuhi kehendak ibunya, Siti Amira Ahmad yang mahu melakukan upacara mandi bunga, majlis berinai dan khatam Al-Quran sempena perkahwinan tersebut.
"Ibu saya berpesan, walaupun mahu mengadakan sebuah perkahwinan yang sederhana, amalan dalam adat Melayu mesti dilakukan.
"Justeru itu pada 17 Februari lalu, saya telah melakukan majlis berinai dan mandi bunga di rumah kawan saya bernama Huda.
"Kemudian, dua hari selepas itu pula majlis khatam Al-Quran diadakan bersama saudara-mara wanita sahaja. Malah seminggu sebelum itu, saya meminta penyanyi Datuk Julie Sudiro mengajar saya mengaji agar dapat melancarkan lagi ketika membaca ayat-ayat suci Al-Quran," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Lisa, dia berasa seronok dengan amalan yang diadakan bersama teman rapat dan keluarga kerana merasakan seperti kembali mempraktikkan budaya nenek moyang yang semakin dilupakan.
"Selepas mengadakan majlis khatam Al-Quran, berinai dan mandi bunga, terasa sejuk sangat hati dan pada masa sama ia dapat menenangkan jiwa tau," katanya yang turut mendapat bantuan dua lagi teman karibnya, Jihan dan Ili, dalam hal persiapan perkahwinannya itu.
Yusry dan Lisa akan diijabkabulkan di Hotel Marriot, Putrajaya pada 23 Februari manakala majlis resepsi pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, tiga hari selepas itu.
Kedua-dua mereka akan memakai busana rekaan Butik Cosry untuk kedua-dua acara iaitu hari pernikahan dan persandingan.
Pada majlis resepsi nanti, ruang dewan akan dihias dengan konsep ala 'French Vintage', yang diinspirasikan daripada Marie Antoinette (Ratu Perancis) oleh KS Entourage.
Bagi makanan untuk kedua-dua majlis nanti pasangan tersebut menggunakan khidmat “Kuzie Catering”.
Sementara itu, Lisa memberitahu, ibunya telah memberi pelbagai nasihat sebagai persediaannya melalui fasa hidup berumah tangga.
"Ibu saya berkata, bila dah bergelar isteri, maka perlulah bertolak ansur, tidak melatah dan tidak boleh membantah kata suami.
"Macam-macam lagi dia nasihat, dan yang paling penting, saya perlu tahu bahawa alam rumah tangga tidak selalunya indah dan ada masanya, ia boleh mengganggu diri jika tidak pandai mengawal emosi.
"Insya-Allah, semoga saya mengikuti setiap kata-katanya. Saya juga berharap agar mereka di luar sana mendoakan kebahagiaan kami," tuturnya yang akan berbulan madu di Eropah selepas majlis perkahwinan itu nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: