|
SEBAIK kaki melangkah ke dalam ruang premis Chan She Shu Yuen Clan Association, terpampang dua jalur kaligrafi Cina yang diukur pada dua batang tiang.
Ia membawa maksud, pernah dalam sejarah keturunan Chan, sebanyak dua keturunan berturut-turut iaitu ayah dan anak menjadi Perdana Menteri kepada Maharaja China.
Sudah menjadi amalan kebudayaan masyarakat Cina, mengeluarkan kata-kata pujian amat digalakkan dan fakta itu adalah sesuatu yang membanggakan bagi mereka.
Sejarah keturunan Chan boleh dikesan lebih 4,500 tahun lalu melalui generasi pertama, Sun Di. Sehingga kini, ia sudah melalui lebih kurang 150 generasi.
Berhijrah
Disebabkan penterjemahan vokal ke tulisan rumi, terdapat pelbagai versi ejaan seperti Tan, Tang, Chen, Cheng, Chin, Din, Ding, Dang, Tin dan Ting. Keluarga Chan memiliki bilangan ahli yang paling ramai di Asia Tenggara.
Keluarga itu berasal dari utara China dan berhijrah ke bahagian selatan iaitu wilayah Kwang Tung, China. Namun, tanah perkuburan berdekatan Jalan Istana, Kuala Lumpur itu bukan ditubuhkan oleh keluarga tersebut tetapi oleh orang-orang Cina di Malaya yang berasal dari wilayah tersebut.
Kemudian, berlaku sebuah lagi penghijrahan iaitu ke Asia Tenggara terutama Tanah Melayu dan Taiwan sebelum ke bahagian dunia lain.
Chan She Shu Yuen Clan Association di Malaysia ditubuhkan pada tahun 1896 manakala bangunannya siap pada tahun 1906.
Bangunan tersebut diasaskan oleh empat ahli keluarga Chan iaitu Chan Sow Lin, Chan Choon, Chan Sin dan Chan Chai Tien.
Setiap dekorasi bangunan yang berukuran 45.7 meter lebar dan 61 meter panjang itu dibawa dari China manakala tiangnya dari Melaka.
Menurut Setiausaha Persatuan Keturunan Chan, Dr. BN Tan, 54, Dr. Tan, sehingga kini, persatuan tersebut mempunyai seramai 1,000 orang ahli yang aktif dan memiliki berkeahlian seumur hidup.
Selalunya, untuk satu keahlian akan ada ahli konsolidasi antara lima hingga 10 orang yang terdiri daripada anak-anak mereka.
“Jadi, anak-anak mereka boleh menyertai setiap acara yang kami adakan selain berpeluang mendapat biasiswa Chan Clan Association,” ujar Dr. Tan.
Namun, setiap keturunan Chan secara automatik dikira sebagai ahli persatuan atas dasar mempunyai pertalian darah yang sama.
Dalam masyarakat Cina, persatuan atau kongsi merupakan komponen penting dalam membentuk masyarakat dan ekonomi golongan tersebut.
Pengkaji budaya Cina, Ann Wan Seng, 44, berkata, tujuan utama penubuhan persatuan tersebut adalah supaya asal-usul, identiti dan jalinan kekeluargaan antara mereka dapat dikekalkan.
Selain itu, ia menjadi tempat ahli persatuan mengadu nasib disebabkan pengekalan dan persamaan marga keluarga. Jika zaman dahulu, kepentingannya sangat besar dalam membentuk ekonomi, politik dan sosial mereka.
Hari ini, jika diperhatikan peranan persatuan semakin dilupakan oleh generasi muda. Ulas Wan Seng, ia masih lagi relevan kerana fungsinya untuk mengesan susur galur keturunan yang masih ada.
Bukan kongsi gelap
Seringkali masyarakat bukan Cina menganggap persatuan seperti itu mempunyai latar belakang kegiatan samseng atau kongsi gelap manakala bangunannya pula sering disalah anggap sebagai sebuah tokong.
Ujar Wan Seng, kongsi membawa maksud sebagai perkongsian kepentingan dan keturunan sahaja. Bagi masyarakat Cina, mereka mengamalkan ajaran Confucian yang menitik beratkan amalan menghormati orang tua.
“Memang terdapat ruang penyembahan di rumah persatuan, tetapi ia ia adalah satu bentuk penghormatan kepada nenek moyang mereka sahaja,” terang Wan Seng.
Rata-rata orang Cina meletakkan papan peringatan sebagai tanda leluhur mereka.
Sehingga kini, Chan Clan Association berjaya mengumpulkan keturunan Chan yang meliputi hampir 20 peratus daripada jumlah komuniti Cina di Malaysia.
Mereka bertutur dalam pelbagai dialek. Antara tokoh pada zaman moden yang terkenal di Malaysia yang berasal daripada keturunan tersebut ialah Tun Tan Cheng Lok.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: