|
|
CINTA Nor Akmar Abdul Aziz, 32, pada bidang landskap memang sukar dipertikai. Justeru, demi mencapai ke peringkat tertinggi pengajian dalam bidang tersebut, wanita ini sanggup meninggalkan ibu bapa tercinta di tanah air untuk melanjutkan pelajaran di bumi Denmark.
Tempoh tiga tahun di negara itu nyata memberikan pengalaman yang tidak ternilai.
Pengajian di peringkat Doktor Falsafah Pengurusan (PhD.) Kawasan Hijau di University of Copenhagen, memberikan peluang keemasan untuk beliau menghayati keindahan sebenar landskap di negara empat musim itu.
Tutor di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu ini, juga bertuah kerana sepanjang berada di bumi orang dia ditemani suami tercinta, Mohd. Hariz Raymond, 32, yang turut ‘berkorban’ mengambil cuti tanpa gaji selama tiga tahun.
Walaupun mengetahui Denmark merupakan antara negara yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi, Nor Akmar tetap memilih negara itu biarpun pada masa sama mendapat beberapa tawaran dari universiti di United Kingdom dan Australia.
“Saya memilih Denmark kerana fakulti yang dipilih merupakan pusat antarabangsa bagi penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan perundingan dalam perancangan dan pengurusan landskap, senibina landskap selain bidang hutan dan keluaran hutan.
“Di samping itu terdapat pakar untuk subjek yang saya pilih dan ini menguatkan lagi keinginan menjejakkan kaki ke Copenhagen.
“Selain itu, pemandangan yang indah di Denmark adalah motivasi tambahan untuk memilih negara itu,” ujar Nor Akmar yang baru saja menamatkan pengajiannya dan pulang ke tanah air ketika musim salji lebat melanda Denmark, baru-baru ini.
Pengalaman berada di Denmark
Kata Nor Akmar, menikmati sendiri pengalaman empat musim adalah sesuatu yang indah lebih-lebih lagi ketika mengharungi ribut salji yang tebal untuk ke sekolah, sesuatu yang sukar untuk dilupakan.
Seperkara yang dikagumi tentang masyarakat di sana ialah sikap mereka yang berhemah.
“Saya sekeluarga tidak pernah mengalami masalah diskriminasi seperti yang dikhabarkan sebelum menjejakkan kaki ke Denmark.
“Malah kami sekeluarga amat gembira mendapat kawan-kawan yang mengambil berat termasuklah penyelia saya, Prof. Dr. Cecil C. Konijnendijk.
“Dr. Konijnendijk yang berasal dari Belanda sudah beberapa kali ke Malaysia atas urusan percutian atau mendapat jemputan sebagai penceramah untuk seminar yang berkaitan dengan pengurusan kawasan hijau, jadi beliau memahami budaya dan cara kerja orang Malaysia. Tidak hairan, beliau juga dapat bertutur beberapa patah perkataan dalam Bahasa Melayu,” ujar Nor Akmar yang membuat kajian tentang pengurusan kawasan hijau.
Menurut Nor Akmar, bukan senang untuk mencapai kejayaan tanpa pengorbanan.
Kos sara hidup di Denmark memperuntukkan kira-kira Kroner 8,500 (RM5,000) hanya untuk rumah sewa satu bilik di pinggir bandar Copenhagen.
Itu katanya, tidak termasuk bil elektrik, air, pemanas dan gas dan ia merupakan rumah termurah yang dapat dicari yang mana rata-rata harganya mencecah Kroner 10,000 sebulan.
Namun Nor Akmar reda kerana sudah mengetahui risiko yang harus ditempuhi di negara yang dikatakan antara terkaya di dunia itu.
“Walaupun serba-serbi mahal, saya akui kualiti hidup yang tinggi dan suasana pembelajaran yang seronok dan sihat membuatkan saya tidak teragak mengatakan ia ibarat satu pelaburan yang amat berbaloi,” ujarnya.
Projek PhD. manfaat taman
Projek PhD. Nor Akmar yang bertajuk ‘Kawasan Hijau dan pengurusan di Malaysia’ ini mempunyai beberapa objektif utama.
Antaranya adalah untuk lebih memahami penggunaan taman bandar di kalangan penduduk di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak, selain melihat hubungan antara penggunaan taman bandar dengan laporan kesihatan pengguna.
“Patut diketahui umum bahawa kawasan hijau dan penggunaannya memberikan banyak manfaat dari segi sosial, ekonomi, kesihatan fizikal, kesihatan psikologi (mental) dan alam sekitar.
“Kajian menunjukkan penggunaan taman di Malaysia berbeza dari setiap kaum dari segi masa, ini sangat menarik di mana setiap kaum mempunyai kepercayaan tersendiri.
“Sebagai contoh, orang Cina suka ke taman waktu pagi kerana percaya keluar di waktu pagi memberikan rezeki kepada mereka, manakala orang Melayu ramai tidak menggunakan taman pada waktu senja kerana percaya waktu itu semangat jahat sedang berkeliaran dan waktu tersebut adalah untuk menunaikan solat Maghrib.
“Tujuan utama penggunaan taman juga dilihat berbeza bagi setiap kaum, empat tujuan utama telah dikenal pasti sebagai motif penggunaan taman.
“Keputusan menunjukkan orang Melayu ramai menggunakan taman untuk tujuan restoratif (pemulihan kesihatan), pendidikan dan kesihatan.
“Kaum Cina pula menggunakan taman untuk semua tujuan tersebut termasuklah bersosial. Manakala, tujuan utama kaum India menggunakan taman lebih kepada untuk restoratif dan kaum-kaum lain seperti Iban, Melanau, Bidayuh dan etnik lain di Sarawak cenderung untuk tujuan sosial.
“Perbezaan penggunaan taman antara Malaysia dengan negara Eropah adalah dari segi pengangkutan dan masa.
“Di Eropah pengguna hanya berjalan kaki atau menggunakan basikal untuk pergi ke taman, tetapi di Malaysia kebanyakan pengguna menggunakan kereta.
“Manakala, dari sudut masa, pengguna di Eropah menggunakan taman sepanjang masa namun di negara ini pengguna cuba menggelak waktu tengah hari untuk ke taman kerana faktor cuaca.
“Jika di Eropah, penduduk yang tinggal hampir dengan taman melaporkan tahap kesihatan mereka adalah baik, di Malaysia ia tidak menunjukkan keputusan yang positif.
“Namun begitu, penggunaan taman yang kerap memberikan kesan positif terhadap perasaan pengguna seperti bertenaga, gembira dan lebih relaks,” jelasnya.
Sepanjang tiga tahun berada di luar negara, Nor Akmar turut berpeluang mengambil beberapa kursus di Sweden berikutan University of Copenhagen mempunyai kerjasama dengan beberapa universiti di sana.
Kesempatan yang ada juga, dimanfaatkan dengan sebaiknya menyertai
seminar sebanyak mungkin.
Sepanjang pengajian PhD., Nor Akmar berpeluang membentangkan hasil kajiannya pada seminar di Tulin, Austria, Rome, Italy, Edinburgh, Scotland, Glasgow, Scotland dan Birmingham, UK.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: