Wednesday, February 8, 2012

Shazeli tangani jenayah kargo


Shazeli Kahar antara individu penting dalam memastikan perjalanan Unit Siasatan Kes Kargo dari Bahagian Jenayah Berat (D9).


MEDIA cetak dan elektronik sering memaparkan berita sindiket yang melakukan jenayah seperti pecah gudang, rampasan kargo, pecah masuk dan melarikan treler hanya dalam masa beberapa minit sahaja.

Mendengar dan melihat apa yang dipaparkan membuat kita berfikir sejenak, betapa licik dan mudahnya sindiket itu boleh melakukan kegiatan jenayah dalam tempoh yang singkat malah sempat melarikan diri bersama barang rampasan bernilai jutaan ringgit.

Kumpulan penjenayah seperti ini bukan sahaja sangat digeruni oleh individu yang berisiko menjadi mangsa seperti pemandu treler dan penjaga gudang malah dibimbangi akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara.

Mengapa tidak, mereka bukan sahaja dianggap ganas dan kejam kerana menggunakan senjata dan kekerasan, malah kegiatan jenayah mereka juga boleh menakutkan pelabur asing untuk membuat pelaburan yang akhirnya merugikan negara.

Mana mungkin pelabur akan meletakkan perniagaan mereka di dalam negara yang mempunyai risiko jenayah yang tinggi serta ketidakcekapan menguruskan aspek keselamatan barang komersial.

Sehubungan itu, Unit Siasatan Kes Kargo dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diwujudkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bekerjasama dengan pihak industri di dalam memastikan keselamatan barang komersial berada pada tahap piawaian paling tinggi.

Gaya Polis berkesempatan menemubual seorang pegawai yang menjadi antara individu penting dalam memastikan perjalanan pasukan di unit tersebut berjalan lancar, seiring dengan matlamat dan misi yang ditetapkan dalam PDRM.

Individu yang dimaksudkan ialah Deputi Supritendan Shazeli Kahar, 37, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di bahagian tersebut. Menurutnya, mungkin ramai yang tidak mengetahui fungsi dan peranan unit itu dalam mengendalikan kes yang berkaitan rampasan komersial.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab kepada beliau dan pasukan itu memastikan setiap kes yang berkaitan rampasan barangan komersial diberi keutamaan untuk pihaknya membuat siasatan, risikan dan tindakan operasi.

"Peranan serta kerjasama erat antara Unit Siasatan Kes Kargo dan syarikat perindustrian adalah penting selain melakukan pertukaran risikan sebagai langkah memastikan bahawa aspek keselamatan dan pengawalan keadaan diberi tumpuan.

"Kita turut menjalinkan hubungan serta kerjasama yang rapat dengan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pengendali lebuh raya, Plus Expressway Berhad (PLUS) bagi memperolehi maklumat penting di dalam pengesanan suspek di sepanjang lokasi terlibat," katanya yang sudah hampir 12 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Anak jati Ipoh, Perak itu menjelaskan, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi memandangkan taktik yang digunakan penjenayah adalah terancang dan dilakukan dalam satu kumpulan secara besar-besaran.

"Mereka yang bergerak secara kumpulan ini akan melakukan perancangan rapi bagi memastikan kegiatan jenayah berjalan dengan lancar tanpa sempat disekat oleh pihak berkuasa," katanya.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa setiap aktiviti yang dilakukan mengambil masa yang singkat kerana dari awal mereka sudah ada sasaran. Justeru, untuk mengesan suspek adalah satu cabaran kepada polis kerana mereka bergerak sebagai sebuah sindiket yang mempunyai rangkaian besar.

"Polis juga perlu bertindak cepat untuk melakukan siasatan bagi menahan kesemua suspek kerana sekiranya lambat bertindak, dikhuatiri barang kargo yang dirompak itu akan hilang," katanya yang turut bertanggungjawab dengan setiap arahan berikan kepada anggota di bawahnya.

Katanya, modus operandi yang sering digunakan kumpulan penjenayah ialah melakukan samun lori kontena ketika kenderaan berhenti untuk rehat atau tidur.

Kebanyakan kes berlaku di waktu malam dan mereka turut gemar memecah masuk gudang.

Sehubungan itu, polis sentiasa menasihati peniaga mahupun pengusaha kilang agar menitikberatkan soal keselamatan termasuk memberi latihan di dalam meningkatkan kecekapan dan kemahiran pengawal keselamatan.

Di samping itu mereka juga perlu memastikan pergerakan kenderaan yang membawa barangan tidak bergerak secara solo.

"Selain itu, kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) yang beroperasi 24 jam dan peranti system kedudukan global (GPS) bagi mengesan lokasi pemandu treler juga amat penting di dalam memastikan keselamatan barangan dan pekerja," ujarnya.

Menilai tahap keselamatan kargo di negara ini menurut Shazeli, kedudukan Malaysia tidak berada pada tahap membimbangkan dan setiap tahun berlaku penurunan dalam kes berkaitan rampasan kargo sejak 2006.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: