Wednesday, February 15, 2012

Malaysia sertai Eksesais Cobra Gold 2012


Antara aktiviti yang dijalankan oleh anggota ATM ketika menyertai Eksesais Cobra Gold di Thailand baru-baru ini.


EKSESAIS Cobra Gold merupakan latihan ketenteraan membabitkan pasukan keselamatan pelbagai negara bagi memudahkan operasi ketenteraan terutamanya dalam misi bantuan kemanusiaan.

Ia terutamanya jika berlaku tragedi bencana alam atau wabak penyakit di rantau Asia Pasifik.

Tahun ini merupakan kali ke-31 penganjuran latihan berkenaan dan tahun kedua menyaksikan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Thailand merupakan tuan rumah pada latihan kali ini dan ia telah berlangsung dari 7 Februari lalu sehinggalah 18 Februari ini di sekitar daerah Korat Nakon Ratchasima, Rayong dan Pattaya.

Selain Malaysia dan Thailand, ia turut disertai Amerika Syarikat (AS), Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia.

Malaysia mula terlibat dengan latihan itu pada 2003 tetapi ketika itu hanya sebagai negara pemerhati. Bagaimanapuan, bermula 2011, Malaysia telah dinaik taraf sebagai peserta dengan penglibatan 13 anggota ATM. Pada latihan kali ini pula, seramai 79 anggota ATM terlibat dan diketuai Panglima Ke-11 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Azmi Borhan.

AS merupakan negara paling ramai menghantar anggota iaitu 7,000 orang . Kebanyakkannya terdiri daripada anggota tentera marin dari 3rd Marine Expeditionary Force. Sementara itu, seramai 3,400 anggota tentera dari tujuh buah negara iaitu Thailand, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Indonesia dan Malaysia terlibat sepenuhnya dalam latihan selama 11 hari itu. Dalam pada itu sebanyak 20 negara lain turut dijemput hadir sebagai pemerhati.

Dalam pada itu, Malaysia telah menghantar kumpulan pertama yang melibatkan komponen Coalition Joint Civic Military Operations Task Force (CJCMOTF) pada 16 Januari lalu.

Komponen itu terlibat sepenuhnya dengan perancangan program jiwa murni yang melibatkan Engineer Civic Assistant Project (Encap) yang melibatkan enam projek penempatan di daerah Saraburi, Nakon Ratchasima, Rayong, Chantaburi dan Contaburi.

Program tersebut bertujuan membantu masyarakat di daerah berkenaan mendirikan sekolah dan dewan serbaguna. ATM yang diwakili oleh tujuh anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) telah ditempatkan di daerah Chonburi bersama 20 anggota tentera laut AS dan Tentera Diraja Thailand bagi membantu pembinaan sebuah sekolah dengan tiga bilik darjah.

Pasukan kesihatan ATM juga turut serta dalam program kesihatan di enam penempatan tersebut dengan bergerak dari satu penempatan ke penempatan lain bersama-sama dengan pasukan Medical Dental Veteriner Civic Asistant Project (MDVCAP) dari enam negara yang terlibat.

Penglibatan ATM dalam latihan itu meliputi Latihan Pos Kawalan (CPX), Latihan Taktikal Lapangan - Operasi Pemindahan Bukan Tempur (FTX-NEO), Bantuan Kemanusiaan (HCA)-Komponen CJCMOTF, seminar kepimpinankanan (SLS) dan buat pertama kalinya program bina semangat untuk anggota lain-lain pangkat turut diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: