BUKAN senang untuk menjalin hubungan cinta jarak jauh. Banyak juga kedengaran cinta jarak jauh tidak sempurna, hanya yang benar-benar serius mampu bernokhtah dengan bahagia.
Namun bagi bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ke-empat ini, bukan satu bebanan untuk meneruskan cinta meskipun terpisah beribu-ribu batu dengan arjuna hati.
Siapa sangka, perkenalan antara Farhan Azizan, 28, dan Rashdan Shuhaimi, 28, yang diperkenalkan oleh seorang sahabat akhirnya membawa mereka jauh ke kemuncak cinta.
Walaupun begitu, akui Farhan, hubungan cinta jarak jauh bukannya mudah.
"Jika diikutkan, banyak cabaran yang kami perlu tempuhi sepanjang kami bercinta. Kami pernah bergaduh sehinggakan tidak bertegur dan berhubung selama dua bulan.
"Tapi dalam jangka masa kami bergaduh, Rashdan tidak henti-henti memujuk saya dan hubungan kami kembali normal selepas itu," katanya sambil tersenyum.
Demi menjaga hubungan tersebut, mereka juga sentiasa berhubung setiap hari melalui pelbagai cara.
"Sepanjang dia melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK), kami tetap akan berhubung setiap hari, walau apa cara sekali pun.
"Kami gunakan semua platform perhubungan yang ada seperti Facebook, Skype, BlackBerry Messenger (BBM), Yahoo Messenger dan sebagainya untuk berhubung," katanya.
Selain itu, Farhan juga bersyukur kerana dalam masa yang sama, tunangnya itu juga sangat memahami kerjayanya.
Berdiri atas tali pertunangan tersebut, Farhan menyatakan mereka akan melangsungkan pernikahan pada awal tahun hadapan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang diadakan di Cafe Flora, AmpWalk, baru-baru ini.
"Insya-Allah, setelah disetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga. Masih belum memilih tarikh yang sesuai, tetapi ia akan berlangsung tahun depan.
"Sebenarnya jangka masa hampir setahun tersebut adalah untuk memberi peluang kepada kami untuk mengukuhkan karier masing-masing.
"Rashdan yang baru pulang dari UK juga baru sahaja mula bekerja sebagai pengurus akauntan di Petronas," jelas Farhan lagi.
Pada majlis tersebut, Farhan menerima sebentuk cincin emas putih yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya, Faridah Hussin.
Selain itu, dia juga turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas tujuh dulang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: