SUKAN lumba lari adalah antara acara yang paling mendapat sambutan di dunia. Walaupun ia mungkin tidak sepopular sukan bola sepak, golf dan lain-lain, namun ia antara sukan yang paling ramai disertai masyarakat apatah lagi ia senaman harian yang paling kos efektif.
Oleh itu tidak menghairankan jika sering sahaja terdapat pelbagai acara berkaitan sukan lumba lari berlangsung setiap hari. Ada larian melibatkan jarak jauh, merentasi jambatan mahupun menaiki menara atau bangunan tertinggi.
Di Britain, terdapat satu acara larian yang dilihat sangat berlainan malah mungkin mampu mengorbankan nyawa.
Larian berkenaan yang dikenali sebagai Pertandingan Manusia Perkasa yang turut dianggap antara sukan larian paling mencabar di dunia diadakan pada penghujung Januari setiap tahun.
Sukan ini dikatakan sangat mencabar berikutan pelbagai halangan sukar yang ada antaranya tidak masuk akal. Mungkin sebab itu setiap peserta dikehendaki menandatangani perjanjian bahawa pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap kemalangan atau kematian yang berlaku kepada mereka.
Larian ini yang berlangsung sejak 1987 di sebuah ladang seluas 240 hektar di pekan Perton, Staffordshire, berhampiran bandar Wolverhampton, England, dianjurkan oleh seorang penduduk tempatan, Billy Wilson.
Menurut Wilson yang dikenali sebagai Mr. Mouse oleh para peserta, sehingga kini hanya satu pertiga daripada jumlah peserta mampu menamatkan perlumbaan.
Setiap peserta perlu menempuh hampir 30 halangan yang sangat bahaya serta berliku dan boleh mengundang padah jika tersilap langkah.
Halangan
Antaranya meredah laluan berapi, berenang dalam lumpur, mendaki puncak curam, berlari sambil membawa batang kayu, merangkak di bawah kawat berduri dan pelbagai lagi.
Malah terdapat beberapa halangan yang turut disertakan ujian seperti berada di zon perang lengkap dengan para marshal yang berpakaian seperti komando melepaskan tembakan peluru getah dan bom asap.
Tindakan ini dikatakan dilakukan untuk memberi peluang kepada peserta merasai suasana di medan perang.
Lebih menakutkan peserta juga terpaksa merangkak di bawah kawat berduri dilengkapi renjatan elektrik yang boleh mencederakan jika tersilap langkah.
Sehingga kini dikatakan terlalu ramai peserta yang mengalami kecederaan parah setiap tahun seperti patah tengkuk, kaki dan pelbagai lagi.
Lebih separuh daripada peserta yang menyertai larian ini pula dikatakan mengalami hipotermia berikutan sukan ini berlangsung pada musim sejuk.
Sehingga kini dua orang terbunuh ketika menyertai larian ini, pertama pada tahun 2000 apabila seorang peserta, Michael Green, dari Leicestershire meninggal dunia ketika sedang melalui halangan. Dia maut akibat serangan jantung serta hipotermia melampau.
Pada 2007, seorang lagi peserta meninggal dunia juga disebabkan alasan yang sama dan dikebumikan berhampiran kawasan sukan itu berlangsung.
Untuk menyertai larian ini, para peserta perlu membayar antara 80 hingga 1,000 pound bergantung siapa yang paling awal mendaftar. Sehingga kini dikatakan sekitar 6,000 peserta menyertai larian ini setiap tahun dengan kebanyakan mereka dari Amerika Syarikat (AS) di samping 20 buah negara.
Sehingga kini rekod terpantas kejohanan dipegang oleh Knut Hoehler dengan catatan satu jam 11 minit. Malah Koehler juga mencatat rekod pemenang untuk larian tahun ini dengan catatan masa satu jam 11 minit dan 57 saat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: