LANCER Sportback yang diimport sepenuhnya oleh Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pasti tidak menghampakan pemandu yang mahu mencabar kelajuan dan gaya pemanduan agresif.Menggunakan enjin MIVEC 2.4 liter empat silinder, Lancer Sportback menawarkan kapasiti enjin paling besar dalam segmen sedan sederhana di pasaran. Lancer Sportback adalah model yang dipertingkatkan daripada model Lancer sedan yang mendapat sambutan cukup baik di kalangan golongan muda.
Rupa bentuk bahagian hadapannya hampir sama dengan Lancer sedan namun tarikan utama adalah di bahagian belakang dan juga sisinya yang cukup sporty.
Mitsubishi tidak melakukan banyak perubahan di bahagian dalam terutama di papan pemuka, namun pelbagai teknologi yang berupa alat bantuan pemanduan seperti kawalan cruise dan paddle shifter sudah pasti dapat memuaskan hati pemiliknya.
Penulis telah berpeluang merentasi laluan sejauh 200 kilometer dari Kuala Lumpur ke Muar, Johor dan secara keseluruhannya Lancer Sportback sangat mengujakan terutamanya dari segi daya pecutan dan kawalan yang baik ketika dalam berkelajuan tinggi.
Pada purata kelajuan 130 kilometer sejam, penggunaan minyak sekitar 8.5 liter setiap 100 kilometer.
Berdasarkan kapasiti enjin 2.4 liter, ia adalah berpatutan.
Sistem Continuous Variable Transmission (CVT) pada kotak gear Lancer Sportback berfungsi dengan baik sehinggakan pemandu sukar untuk merasai pertukaran gear ketika mod automatik.
Jelas, daya tujahan yang ditawarkan tidak menghampakan pemandu terutamanya ketika menggunakan paddle shifter.
Bagaimanapun, kadangkala penulis terganggu dengan bunyi tayar yang agak kuat ketika melalui permukaan jalan yang kasar tetapi sistem audio dengan enam pembesar suara mampu mengurangkannya kegusaran tersebut.
Aksesori tambahan Lancer Sportback juga tidak kurang hebat dengan kemudahan slot iPod, USB, GPS, TV, skrin sesentuh dan kawalan automatik bagi sistem pendingin hawa, lampu dan pengelap cermin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: