Monday, February 6, 2012

Menziarahi gua Ashabul Kahfi


Penulis di hadapan pintu gua Ashabul Kahfi yang menjadi tumpuan pelancong ke Jordan.


MENGEMBARA melihat negara luar sememangnya menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika ia mempunyai nilai estetika dan sejarah masyhur seperti Jordan.

Di Jordan, ada beberapa kisah sejarah yang masyhur termasuk Ashabul Kahfi sebagaimana yang dicatatkan di dalam al-Quran.

Demikian juga Laut Mati yang berkait dengan kekuasaan Allah SWT terhadap kaum Nabi Luth yang mengamalkan kegiatan homoseksual.

Justeru, menjejak kaki ke Jordan sudah pasti detik yang ditunggu-tunggu untuk melihat sendiri kesan kedua-dua peristiwa tersebut.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia di Amman mengambil masa kira-kira 11 jam.

Pada musim sejuk, waktu Jordan adalah enam jam lewat daripada Malaysia manakala dalam musim panas ia lima jam lewat.

Suhu ketika itu adalah sekitar lapan ke 10 darjah celsius. Sesekali terkena tiupan angin, sejuknya hingga ke tulang hitam.

Destinasi pertama persinggahan adalah di gua Ashabul Kahfi iaitu suatu kisah benar mengenai tujuh pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.

Para pemuda beriman ini hidup pada masa Raja Diqyanus di Rom, beberapa ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa a.s. Mereka hidup di tengah-tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang zalim.

Demi menjaga iman, mereka melarikan diri dari kota, dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Hingga pada suatu ketika, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dijadikan sebagai tempat persembunyian.

Lokasi gua yang terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari Amman ini bersemadinya ketujuh-tujuh pemuda tersebut. Di sebelahnya, terletak institut bagi melatih para pendakwah dan imam dalam bersyarah.

Bagi yang tidak memahami bahasa Arab, jangan bimbang sebab sudah ada petugas yang akan menyampaikan sinopsis kisah tujuh sahabat ini dalam bahasa Inggeris. Turut dipamerkan adalah artifak seperti takar daripada tembikar selain terdapat sebuah batu bersurat.

Selesai menziarahi gua, satu lagi destinasi wajib jika ke Jordan adalah Laut Mati. Ia terletak kira-kira 50 km dari Amman dan kira-kira 95 km dari Mantiqah Karak.

Laut Mati bersebelahan dengan negara Palestin yang kini ditakluki oleh Yahudi jelas boleh dilihat dari sini. Sayangnya, kita hanya boleh melihat tetapi tidak mampu membantu membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman zionis.

Laut Mati berada 397 meter di bawah paras laut dan merupakan kawasan terendah di dunia. Terletak di Great Rift Valley, di mana punca airnya dari Sungai Jordan.

Ia adalah laut termasin di dunia. Tiada hidupan laut yang hidup di dalamnya kerana kemasinannya yang lima kali ganda laut biasa. Buah tangan popular dari sini tentulah sabun daripada lumpur Laut Mati dan juga garam.

Bagi mereka yang ingin membeli-belah barangan bundle pada harga yang murah, boleh berkunjung ke pasar borong atau balad. Di sini, hampir semuanya ada. Kasut kulit pelbagai jenama termasuk Lumberjack dan Bally sehinggalah jaket kulit dan juga over coat pada harga sekitar RM50 atau 10 Dinar Jordan,

Yang pasti, kedatangan ke Jordan tidak akan lengkap atau sempurna tanpa melawat sekurang-kurangnya dua tempat ini. Namun, banyak lagi tempat menarik untuk dilawati antaranya Petra selain makam Nabi Syuaib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: