KUALA KRAU 31 Jan. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang mencatat nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila membentuk logo 1Malaysia menggunakan bahan kitar semula iaitu cawan plastik semalam.
Pengiktirafan itu diumumkan oleh wakil MBOR, Zulhairi Md. Zin apabila kumpulan penuntut terbabit berjaya menyiapkan logo itu menggunakan 370,000 bekas minuman tersebut.
Pengarah program itu, Muhammad Hafidz Anuwar berkata, idea itu dicetuskan olehnya sebagai usaha melonjakkan nama universiti agar sebaris dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di negara ini.
Beliau yang juga Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Pahang berkata, mereka bertuah kerana pentadbiran universiti yang diketuai Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman bersama penuntut lain menyokong idea itu.
"Kami mengambil masa lebih dua minggu untuk mengumpul bahan terbuang dan menyiapkan lakaran logo dengan ukuran ditetapkan sepanjang 100 meter panjang dan 38 meter lebar.
"Kerja menyusun bekas minuman dan mewarna mengikut warga logo asal 1Malaysia iaitu merah, biru, kuning dan putih di samping warna hitam mengambil masa selama dua hari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Hafidz berkata, MPP terharu dengan komitmen dan sokongan padu warga UiTM Pahang dalam menyediakan bahan kitar semula walaupun terpaksa mencari di pasar malam dan pekan sehari.
Tambahnya, hasil kesungguhan itu ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mencapai sasaran mencipta rekod tersebut di samping menanam minat penuntut UiTM mencintai alam sekitar.
Dalam pada itu, Zulhairi menyifatkan komitmen penuntut terbabit berjaya memenuhi kriteria bagi kategori bahan kitar semula cawan plastik pada awal tahun ini.
"Setelah mengambil kira pelbagai aspek, pihak kami tanpa ragu-ragu mengiktiraf hasil kerja mahasiswa UiTM Pahang," katanya.
Menurut beliau, kejayaan IPTA itu akan didokumentasi dalam bentuk buku khas yang akan dikeluarkan pada Mac tahun ini.
Sementara itu, Hilmi turut berbangga dengan usaha MPP keluar daripada kebiasaan dalam menghasilkan sesuatu yang baharu dan membanggakan warga universiti tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: