JOHOR BAHRU 31 Jan. - Seramai 120 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkampung selama empat hari di Kampung Parit Simpan, Senggarang, Batu Pahat baru-baru ini bagi menjayakan Program Khidmat Masyarakat dan Pendidikan YTM Tunku Abdul Rahman.
Menurut pengarah program, Nurul Rafeeda Saarani, program Khidmat Masyarakat Dan Pendidikan YTM Tunku Abdul Rahman itu merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan oleh UTM menerusi Kolej Rahman Putra dan digerakkan bersama Yayasan Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata, program yang berteraskan khidmat masyarakat dan pendidikan itu menyediakan platform bagi mahasiswa dan mahasiswi dari UTM dan masyarakat serta pemimpin setempat untuk mengingati dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan mengenai sumbangan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
"Selain bersama-sama memotivasikan pelajar khususnya anak penduduk tempatan dalam menghadapi peperiksaan yang penting, ia juga berperanan untuk membentuk jati diri dan perasaan bangga terhadap bangsa dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Nurul Rafeeda, dalam usaha memastikan nama Tunku Abdul Rahman sentiasa diingati, segala pengisian program telah menggunakan elemen keperibadian dan pemikiran beliau semasa mentadbir negara dan memimpin perjuangan mencapai kemerdekaan.
Antara aktiviti yang telah diadakan adalah siri ceramah motivasi dan kepimpinan kepada pelajar sekolah rendah, pertandingan lukisan kemerdekaan dan pencapaian negara sebelum dan selepas merdeka dan bergotong-royong setempat.
"Para peserta juga menyumbang dalam pembinaan papan tanda masuk ke kampung tersebut. Malah, pihak Pusat Kesihatan Universiti juga dijemput mengadakan satu sesi pemeriksaan kesihatan untuk penduduk kampung.
"Selain itu, Kolej Rahman Putra juga akan menganjurkan beberapa aktiviti berteraskan perkongsian hasil penyelidikan UTM kepada masyarakat setempat antaranya, penggunaan baja organik UTM dan perkhidmatan herba-herba terpilih untuk penyediaan minyak wangi," katanya.
Selain itu, sebanyak 35 keluarga angkat di kampung berkenaan berbesar hati menjadikan peserta kolej tersebut sebagai anak angkat sepanjang program itu berlangsung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: